Wednesday, 20 November 2013

REMAJA YANG MENYUSAHKAN ORANG HADAPI 4 TUDUHAN


Remaja berdepan 4 pertuduhan
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun untuk proses pendakwaan.
 
DUNGUN - Seorang remaja yang dipercayai anak tauke karpet dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun, di sini, pagi semalam atas tuduhan mencuri kenderaan dan mengurung orang dalam dua kejadian berasingan.

Tertuduh yang berusia 17 tahun dalam pertuduhan pertama telah mencuri sebuah kenderaan jenis Grand Livina yang dimiliki Jarini Mohd Nawi, 27.

Kejadian berlaku pada 4 November 2013 lebih kurang jam 5.50 petang di Hentian R&R susur keluar Ajil itu membuatkan dia dituduh mengikut Seksyen 379 A.

Dalam pertuduhan kedua mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan pula, dia pada masa, tempat dan tarikh yang sama dituduh mengurung tiga orang dengan salah dalam sebuah kenderaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang berasal dari Kemaman boleh dijatuhkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun berserta denda.

Pertuduhan kedua boleh disabitkan hukuman penjara maksimum satu tahun dan denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga pula, pada 4 November jam antara 6 dan 6.45 petang, tertuduh bertempat di Jalan Jerangau-Jabor Dungun telah mencuri sebuah Perodua Myvi daripada Nor Maizura Mustafar Kamar, 18.

Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun hingga tujuh tahun serta denda.

Dia juga dalam pertuduhan keempat didakwa mengurung tiga orang dengan salah pada tarikh masa, tempat yang sama dengan pertuduhan ketiga dan jika sabit kesalahan, remaja ini boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda
tidak melebihi RM2,000 atau keduaduanya sekali.

Tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan dikenakan ke atasnya, namun mahkamah menetapkan pada 11 dan 22 Disember nanti sebagai tarikh sebutan semula kes memandangkan tertuduh memerlukan laporan akhlak daripada perunding Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana pesalah masih di bawah umur.

Timbalan Pendakwaraya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah memohon mahkamah agar tidak memberi jaminan ke atas tertuduh kerana kesalahan dilakukan adalah serius selain dapat memberikan kesan trauma kepada mangsa terlibat dan Majistret,
Hazwanie Husain Bustari membenarkan permohonan tersebut.

dipetik dari Sinar Harian.
 

No comments:

Post a Comment

Terima kasih diatas sokongan anda semua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...