"Saya masih belum bersedia untuk memaafkan dia. Hati ini masih marah dan sakit bila teringatkan peristiwa yang membuatkan saya hampir kehilangan Asyraf (anak)," luah Mastura Che Awang dalam pertemuan dengan MalaysiaGazette di rumahnya semalam.
Mastura merupakan ibu kepada Muhammad Ashraf Ikhwan Pirhat, bayi 10 bulan yang tercampak keluar selepas kereta yang dinaiki dilarikan seorang remaja di Dungun, Terengganu beberapa minggu lalu.
Ibu muda itu seolah-olah mahu melupakan tragedi itu, namun segala-galanya terlalu sukar untuk `dilepaskan'. Dia masih mengingati dengan jelas wajah remaja yang menculik mereka sekeluarga dan setiap kali teringat peristiwa itu, hatinya menjadi marah dan sakit.
Walaupun sebelum ini, keluarga remaja itu pernah menyatakan hasrat ingin bertemu dengannya untuk meminta maaf, namun beliau masih dia bersedia dan terkejut dengan permintaan tersebut.
"Ibu bapa budak itu tidak bersalah, jadi mereka tidak perlu meminta maaf. Tapi saya kesal dengan mereka yang tidak menjaga anak bermasalah seperti itu baik-baik.
"Saya sendiri sebagai seorang ibu, sekiranya melihat anak bermasalah saya akan pantau dan bantu anak bagi mendapatkan rawatan.
"Yang paling penting sekali kasih sayang ibu terhadap anak itu, bagi memastikan rawatan atau jagaan terbaik dapat diterima," ujarnya.
Ditanya perkembangan Ashraf, Mastura tidak putus-putus melafazkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana keadaan puteranya semakin pulih dan kembali normal serta ceria seperti sebelum kemalangan.
Selepas membuat rawatan susulan pada pagi semalam, doktor pakar kanak-kanak gembira dengan perkembangan terkini bayi itu dan mengesahkan Ashraf hampir 95 peratus pulih.
Esok satu lagi rawatan susulan akan dibuat dengan pakar yang membedah Ashraf untuk melihat perkembangan kepalanya pula.
Ashraf menerima rawatan di Pusat Perubatan Sime Darby Ara Damansara sejak 12 November lalu telah menjalani pembedahan kecil di kepala bagi mengeluarkan cecair dan darah beku.
Dalam kejadian kemalangan 4 November lalu, kereta yang dinaiki oleh Pirhat Karim bersama isterinya, Mastura dan Ashraf dilarikan oleh seorang remaja ketika keluarga itu berada dalam kenderaan berkenaan.
Mereka menjadi tebusan kira-kira sejam dalam kereta yang dipandu sehingga 190 kilometer sejam itu terbabas akibat terlanggar lopak dan menyebabkan Ashraf tercampak keluar.
Selain Ashraf dan ibunya yang mengalami kecederaan parah, Pirhat turut mengalami kecederaan di bahu. - MalaysiaGazette
SUMBER DARI MALAYSIAGAZETTE..
No comments:
Post a Comment
Terima kasih diatas sokongan anda semua