Tuesday 19 November 2013

REMAJA MENGAKU CURI KENDERAAN DAN MENGURUNG ORANG



DUNGUN - Remaja lelaki yang melarikan dua kenderaan hingga menyebabkan kemalangan 4 November lepas, hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap empat pertuduhan iaitu mencuri kenderaan dan mengurung orang secara salah.

Remaja berusia 17 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Hazwanie Husain Bustari, yang dijalankan secara tertutup kerana tertuduh seorang juvana.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa mencuri sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina bernombor pendaftaran AGN 8861, daripada Jarini Mohd Nawi, 27, jam 5.50 petang di Hentian Rawat dan Rehat susur Ajil, Kuala Berang, 4 November lepas.

Pertuduhan kedua dia didakwa mengurung tiga orang secara salah di dalam kenderaan sama iaitu Pirhat Karim, 34, Mastura Che Awang, 31, dan Muhammad Asyraf Ikhwan Pirhat, sembilan bulan, pada tempat dan hari yang sama dari 5.50 hingga 6.30 petang.

Bagi pertuduhan ketiga dia didakwa mencuri sebuah kereta jenis Perodua Myvi milik Nor Maizura Mustafa Kamar, 18, dan bagi pertuduhan keempat mengurung mangsa dengan salah di dalam kenderaan itu dari jam 6 hingga 6.40 petang di Jalan Jerangau-Jabor, Dungun, pada tarikh sama.

Dia didakwa mengurung Habibah Teh, 50, Azrul Fazli Mustafa Kamar, 14, Nur Anisya Qistina Khairul Nazri, 5, dan Muhammad Ariff Takumi Khairul Nazri, dua tahun.

Bagi dakwaan mencuri kenderaan dia dituduh mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.
Bagi kesalahan mengurung dia didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh yang tidak ditemani anggota keluarga dan menetapkan 11 Disember dan 22 Disember ini sebutan semula kes untuk mendapatkan fakta penuh laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Terima kasih diatas sokongan anda semua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...