DUNGUN: Sepasang suami isteri serta bayi lelakinya berusia sembilan bulan bukan saja ketakutan kereta dinaiki dilarikan seorang penjenayah malah nasib malang sekali lagi menimpa mereka selepas kereta yang dipandu penjenayah itu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 88 Jalan Jerangau-Jabor, dekat Ladang Gajah Mati, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, kereta yang dinaiki tiga beranak terbabit, Pirhat Karim, 35, dan isteri Che Mastura Che Awang, 32, serta bayi lelaki mereka Muhammad Asyrat Ikhwan, sembilan bulan berhenti rehat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ajil, Hulu Terengganu.
Mangsa tiga beranak itu yang duduk di bahagian belakang kenderaan dikatakan tidak turun dari kenderaan itu sebelum seorang lelaki berusia 17 tahun memasuki keretanya dan bertindak memecut laju ke arah Kuantan.
KEADAAN kereta yang dilarikan suspek remuk selepas melanggar sebuah kereta Proton Waja dan lori tanah di Kilometer 88, Jalan Jerangau-Jabur. FOTO Rosli Ilham
Ketua Polis Daerah Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, adik ipar mangsa yang menyedari kenderaan serta ahli keluarganya itu dilarikan kemudiannya segera ke Balai Polis Ajil untuk membuat laporan polis.
Katanya, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bukit Besi dan Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) yang menerima laporan kejadian itu bertindak untuk membuat sekatan jalan raya.
“Dalam usaha membuat sekatan jalan raya, polis menerima pangggilan sebuah kereta terbabit dalam kemalangan dan sebaik tiba di tempat kejadian mendapati kereta itu adalah sebagaimana yang dilaporkan hilang,” katanya.
Ahmad Zailani berkata, kemalangan kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan bayi kepada pasangan itu cedera tercampak keluar dari kenderaan manakala suspek yang tidak mengalami sebarang kecederaan dikatakan berpura-pura meminta bantuan daripada pemandu sebuah kereta Perodua Myvi yang melalui kawasan itu.
“Pemandu kereta Perodua Myvi terbabit bersama ayahnya keluar membantu sebelum suspek masuk ke dalam kereta terbabit dan memecut ke arah Kuala Terengganu dengan turut melarikan sama empat lagi penumpang yang juga ahli keluarga pemandu kereta terbabit,” katanya.
Katanya, bapa kepada pemandu kereta Perodua Myvi terbabit dikatakan dibantu seorang pengguna jalan raya di situ kemudiannya bertindak mengejar kereta anaknya yang dilarikan suspek itu.
"Hasil perhubungan berterusan bapa gadis terbabit, dua kereta peronda polis dari Balai Polis Kuala Terengganu dan Balai Polis Batu Rakit berjaya memintas kereta yang dilarikan suspek sebelum berjaya menahan suspek di hadapan Masjid Al Salam, Batu Rakit, Kuala Terengganu kira-kira jam 6.45 petang,” katanya.
“Kami bersyukur kesemua ahli keluarga mangsa selamat dan saya berterima kasih kepada semua yang membantu dan suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya
kejadian ini berlaku pada 4/11/2013..kira2 jam 5.00 ptg
ReplyDelete