Sunday 8 December 2013

SEWA HELIKOPTER RM 6,500 SEJAM-KINI MALAYSIA ADA PERKHIDMATAN INI

 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
HELIKOPTER telah mengalami pelbagai evolusi sejak diilhamkan oleh saintis Itali, Leonardo da Vinci pada tahun 1490 walaupun dia sendiri gagal menghasilkan pesawat itu.
Hanya pada tahun 1923, jurutera awam Sepanyol, Juan de la Cierva berjaya mereka dan menerbangkan sebuah pesawat berotor.
Hasil keajaiban minda Juan itu kekal menjadi asas kepada rekaan helikopter moden.
Sebelum ini, helikopter banyak digunakan untuk tujuan perniagaan seperti pembalakan, membina pencawang elektrik di kawasan hutan mahupun mengangkut kakitangan pelantar minyak di tengah laut.
Sesetengah jutawan dan orang kenamaan pula memiliki pengangkutan itu bagi memudahkan mereka bergerak ke destinasi tertentu.
Bagaimanapun, orang awam kini semakin ramai yang menyewa helikopter untuk tujuan peribadi. Malah, ia telah menjadi trend khususnya bagi pasangan pengantin baharu.
Sebagai contoh, pasangan selebriti, penyanyi Mawi dan Ekin, diterbangkan khas menggunakan helikopter sewa dari Hotel Sofitel, Senai, ke Felda Taib Andak di Kulai, Johor pada Disember 2008 sempena majlis resepsi mereka.
Selain itu, helikopter Helistar iaitu sebuah syarikat helikopter komersial di negara ini, mencipta sejarah apabila membawa tujuh pasangan pengantin baharu menghayati panorama indah Kuala Lumpur selama 10 minit tiga tahun lalu.
Salah satu pengendali helikopter sewa di negara ini ialah KK Helicopter System yang beroperasi di KKlub, Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor.
Pengarah Urusannya, James How berkata, pihaknya menyediakan pakej penerbangan menarik dan mampu dinikmati orang ramai.
Resepsi
"Sesiapa sahaja kini boleh terbang dengan helikopter sama ada untuk tujuan rekreasi, pengembaraan atau pelancongan," ujar beliau yang terlibat dalam perkhidmatan helikopter sewa sejak tahun 2009.
Menurut James, pihaknya bekerjasama dengan syarikat Helistar Resources Sdn. Bhd. sebagai penyedia dua buah helikopter iaitu model Helistar AS 350 B2 Secureuil dan model EC 120B (Colibri) yang masing-masing boleh membawa enam dan lima penumpang termasuk juruterbang.
Difahamkan, sebuah helikopter seperti itu berharga lebih RM8 juta.
Ia dihadkan membawa penumpang maksimum seramai 20 orang sahaja dalam sehari atas faktor keselamatan.
"Kami juga menawarkan khidmat helikopter ini untuk kegunaan membawa pengantin ke majlis resepsi mereka.
"Menyaksikan pemandangan berdua dari udara atau sebagai gimik sebelum menghadiri acara perkahwinan tentunya menjadi pengalaman yang sukar dilupakan," kata beliau.
Menurut James, menaiki helikopter merupakan trend pengantin baharu sekarang. Pakej berkenaan ditawarkan pada harga RM6,500 sejam.
Menyentuh mengenai kadar bayaran perkhidmatan lain, James memberitahu, penumpang dewasa dikenakan RM330 manakala kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah RM300.
Bagaimanapun, kadar itu hanya membolehkan mereka berlegar-legar selama 15 minit.
"Untuk penumpang lima sekeluarga, mereka boleh mengikuti penerbangan pergi balik dari Subang ke Pelabuhan Klang yang mengambil masa selama sejam dengan bayaran RM6,400," beritahu James.
Ujar beliau lagi, ahli KKlub akan menikmati potongan sebanyak lima peratus untuk perkhidmatan itu.
Bagi perjalanan jarak jauh khususnya ke luar Lembah Klang, bayaran yang dikenakan adalah mengikut masa perjalanan.
Misalnya, perjalanan dari Subang ke Kuantan, Pahang yang mengambil masa selama hampir dua jam melibatkan bayaran sebanyak RM12,000 untuk sekeluarga.
Larangan
"Dengan kemudahan tempat duduk berkusyen tebal dan berhawa dingin, penumpang boleh menghayati keindahan pemandangan dengan selesa sebelum tiba ke destinasi mereka," beritahu James.
Sementara itu, Pengarah Urusan, Helistar Resources, Kapten Bagawan Singh, berkata, pihaknya memiliki tiga buah helikopter jenis Helistar dan menawarkan perkhidmatan penerbangan berbentuk pakej pelancongan, pengantin baharu, rekreasi keluarga dan aktiviti pemantauan pembalakan.
"Helikopter kami juga disewa menerusi perjanjian dengan KK Helicopter System yang mempromosikan pakej pelancongan untuk orang awam," katanya.
Mengulas kemampuan sesebuah helikopter untuk terbang, jelas Bagawan, kebiasaannya dengan minyak petrol sebanyak 540 liter ia mampu bertahan untuk perjalanan sejauh 704 kilometer.
"Minyak bukanlah satu masalah kerana helikopter kami boleh mendarat di tempat mendarat milik kami di luar Lembah Klang yang menyediakan kemudahan mengisi minyak iaitu di Jerantut, Pahang, Sungai Siput, Perak dan Kluang, Johor.
"Helikopter juga boleh mendarat di lokasi yang dua kali ganda lebih besar daripada panjang rotornya," katanya kepada Jurnal.
Menyentuh mengenai alat ganti dan penyelenggaraan ketiga-tiga helikopter terbabit beliau berkata, Eurocopter Malaysia ada menyediakan alat ganti helikopter di samping kemudahan penyelenggaraan.
Jelas beliau, kerja penyelenggaraan dilakukan setiap 25 jam.
"Jika telah sampai ke tahap di antara 1,200 jam hingga 3,000 jam pula, penyelenggaraan menyeluruh pada komponen utama seperti kotak gear akan dilakukan.
"Untuk menghayati pemandangan hebat, sesebuah helikopter cuma perlu berlegar pada ketinggian di antara 300 meter hingga 1,000 meter," ujar beliau sambil menambah, waktu operasi yang dibenarkan adalah dari pukul 7 pagi hingga 7 petang kerana waktu malam tidak sesuai untuk penerbangan helikopter satu enjin.
Bagi juruterbang Helistar, Kapten Shamsul Md. Sapar, 41, mengendalikan helikopter komersial itu lebih mudah.
Bekas juruterbang helikopter Nuri, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu memberitahu, pesawat Nuri lebih besar dan berkelajuan tinggi.
"Nuri merupakan pesawat tentera berkelajuan tinggi manakala helikopter komersial ini lebih kompak dan selesa walaupun agak perlahan," ujar beliau yang akan mengingatkan penumpang supaya mematuhi peraturan di dalam pesawat.
Antara peraturan itu ialah memakai tali pinggang dan fon kepala, dilarang bercakap ketika juruterbang berhubung dengan menara kawalan dan tidak boleh turun dari pesawat ketika kipas dan enjin masih hidup.
Menurutnya lagi, helikopter komersial dilarang sama sekali daripada terbang di ruang udara Istana Negara, Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas dan Pusat Pentadbiran Putrajaya kerana ia melibatkan keselamatan negara.


 


5 comments:

Terima kasih diatas sokongan anda semua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...