PULAU REDANG - Kerajaan negeri Terengganu yakin projek pembangunan 160 unit rumah pangsa mampu milik di sini yang mengalami kelewatan semasa pembinaan mampu disiapkan pada akhir tahun ini.
Menteri Besarnya Datuk Seri Ahmad Said berkata projek perumahan yang dibina di atas tapak seluas 1.7 ha sudah hampir 40 peratus siap dan dijangka boleh diduduki seawal tahun hadapan.
"Projek rumah pangsa mampu milik ini merupakan projek perumahan pertama kerajaan negeri di Pulau Redang. Tujuannya ialah untuk membantu rakyat.
Namun demikian, kami masih belum menetapkan harga bagi satu unit rumah bagi tujuan penjualan kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas melihat tapak projek rumah pangsa di pulau itu hari ini.
Beliau berkata projek perumahan dengan kos RM32 juta itu dengan setiap unit mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air mampu memberi keselesaan kepada rakyat di sini, terutamanya kepada generasi muda yang baru berumahtangga.
"Kita sedia maklum yang tanah di pulau ini sangat terhad dan kita mendapati sebuah rumah di sini didiami oleh empat buah keluarga. Dengan siapnya projek perumahan mampu milik ini, kita serba sedikit dapat membantu mereka," katanya lagi.
Beliau berkata projek perumahan mampu milik itu akan dilengkapi sebuah gelanggang futsal, sebuah dewan serbaguna, dua rumah sampah, pencawang elektrik dan loji kumbahan.
Ahmad berkata pembangunan perumahan mampu milik itu merupakan projek yang sesuai memandangkan di kawasan sekitarnya terdapat klinik kesihatan, balai polis dan kemudahan awam yang lain.
Namun, beliau berkata pihak kerajaan negeri juga berhasrat untuk mewujudkan sebuah sekolah menengah di pulau ini kerana para pelajar di sini terpaksa menyambung pelajaran mereka di sekolah menengah di tanah besar.
Pembinaan rumah pangsa mampu milik dan kerja berkaitan bermula pada April 2012.
Difahamkan antara punca kelewatan pembinaan projek itu adalah kerana masalah pengangkutan bahan binaan dari tanah besar ke pulau itu semasa musim tengkujuh di antara Oktober hingga Februari. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Terima kasih diatas sokongan anda semua