Tuesday, 11 March 2014

PENDUDUK DI MARANG TERDENGAR DENTUMAN



Lapan Penduduk Marang Dengar Bunyi Dentuman Buat Laporan Polis


MARANG (11 Mac 2014) - Lapan penduduk di Kampung Pantai Seberang Marang di Marang mendakwa mendengar bunyi dentuman yang kuat pada pagi Sabtu lalu datang dari timur laut Pulau Kapas, kemungkinan ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang.

Berikutan itu mereka telah membuat laporan di ibu pejabat polis Daerah Marang kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Salah seorang penduduk terbabit, Alias Salleh, 36, berkata pada pukul 1.20 pagi berkenaan ketika beliau bersama tujuh lagi rakannya sedang bersantai duduk di bangku kira-kira 400 meter dari pantai Marang, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kuat seperti kipas kapal terbang.

"Bunyi yang kuat dan menakutkan itu dipercayai datang dari timur laut Pulau Kapas sebelum kami bergegas ke arah tersebut untuk mengesan punca bunyi itu.

"Kami mencari di sekitar Pantai Rhu Muda namun tidak menemui apa-apa yang mencurigakan," kata Alias, seorang pemandu lori.

Ditanya mengapa beliau membuat laporan selepas empat hari kejadian itu berlaku, bapa kepada tiga orang anak itu berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaporkan maklumat kepada pihak berkuasa bila pesawat masih tidak ditemui hari ini selepas empat hari berlalu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd Yusri Mohd Yusof, 34, berkata bunyi yang kuat dan agak pelik itu pada awalnya disangkakan fenomena tsunami.

"Bunyi bising yang kedengaran seperti kipas kapal terbang itu dapat saya dan rakan-rakan dengar selama dua minit dan bunyi itu berdesing.

"Saya mengambil keputusan ini (membuat laporan) selepas berasa curiga dengan bunyi itu dan ditambah lagi dengan laporan media berkaitan kes kehilangan pesawat," kata beliau.

Mohd Yusri turut mendakwa beberapa kawannya termasuk pemancing dan nelayan turut mendengar bunyi aneh berkenaan dari arah pantai.

Pesawat MAS Penerbangan MH370 itu membawa 227 penumpang, termasuk dua bayi dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 12.41 pagi Sabtu.

Grafik dari Berita Harian.
Sementara itu, seorang peniaga di Kelantan mendakwa turut melihat sebuah pesawat terbang rendah di Kampung Kadok, Ketereh, dekat Kota Bharu, seperti dua nelayan yang dipercayai menyaksikannya berhampiran Kuala Besar, Kota Bharu.

Alif Fathi Abdul Hadi, 29, mendakwa melihat cahaya putih lampu dipercayai milik pesawat yang kelihatan menjunam ke Laut China Selatan berdekatan Bachok, jam 1.45 pagi Sabtu lalu.

Berikutan itu, beliau tampil membuat laporan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali, di sini, jam 11.30 pagi semalam.

“Ketika berada di pekarangan rumah di Kampung Kadok, saya nampak cahaya putih dipercayai lampu pesawat dalam kira-kira lima minit.

Sinaran lampu itu kelihatan pelik kerana biasanya saya nampak pesawat di rumah dari arah lain tetapi kali ini dari arah bertentangan.

“Walaupun pelik, saya tidak berfikir apa-apa dan terus masuk tidur,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di pejabat APMM Tok Bali, di Pasir Puteh.

Kelmarin, dua nelayan membuat laporan polis selepas mendakwa melihat sebuah pesawat terbang rendah, kira-kira lapan batu nautika dari Pantai Kuala Besar, Kota Bharu, jam 1.30 pagi Sabtu lalu.

Jarak antara Kuala Besar dan Ketereh ialah kira-kira 30 kilometer.

Alif Fathi mengakui terkejut mendengar berita kehilangan pesawat MH370 selepas bangun tidur sebelum mengandaikan apa yang dilihat sebelumnya ada kaitan.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih diatas sokongan anda semua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...