Sunday 9 March 2014

JANGAN SEBARKAN MAKLUMAT YANG TIDAK TEPAT BERHUBUNG INSIDEN PESAWAT MH370-MOHON KERJASAMA SEMUA PIHAK










BAYAN LEPAS - Orang ramai digesa agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat berhubung insiden kehilangan pesawat MH370 milik syarikat penerbangan MAS (Malaysia Airlines System) kerana perbuatan itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata, pihak yang melakukan perkara itu seharusnya lebih sensatif terutamanya bagi menjaga perasaan ahli keluarga penumpang pesawat itu yang masih tertanya-tanya mengenai nasib mangsa dalam insiden berkenaan.
“Kita tidak mampu untuk menyekat penyebaran maklumat yang tidak tepat yang dilakukan oleh individu-individu tertentu menerusi laman sosial.
“Apa yang boleh kita lakukan kini adalah menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang mereka perolehi daripada sumber-sumber tidak sahih kerana ia dikhuatiri tidak tepat selain boleh mengeruhkan lagi keadaan.
“Kita minta supaya orang ramai yang ingin mendapatkan perkembangan mengenai insiden berkenaan agar mendapatkan maklumat daripada saluran media yang sah yang sudah tentunya melaporkan situasi sebenar berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Khidmat Komuniti 1Malaysia peringkat negeri Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Seri Bayu, Teluk Kumbar, dekat sini hari ini. - KOSMO!

No comments:

Post a Comment

Terima kasih diatas sokongan anda semua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...