- Kakitangan Perhilitan Terengganu menunjukkan kera yang berjaya ditangkap, petang kelmarin.
Kera dewasa itu ditembak kira-kira jam 6 petang semasa sedang berkeliaran dan berada di atas pokok bersama dua lagi kera liar di Kampung Telaga Papan, kira-kira 500 meter dari rumah mangsa yang terletak di Kampung Gelugor, Kerteh, di sini.
Ibu mangsa, Siti Najwa Muhammad, 21, meluahkan rasa lega dengan tindakan pantas Perhilitan menangkap haiwan ganas itu dalam tempoh seminggu selepas perangkap dipasang di belakang rumahnya pada 29 April lalu.
“Kalau kera itu masih dibiarkan berkeliaran, dikhuatiri orang lain pula dicederakan. Terima kasih kepada Perhilitan yang prihatin mengenai nasib kami sekeluarga,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Pada 26 April lalu dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, Nor Iman Adriana yang sedang nyenyak tidur di dalam buaian di bahagian dapur rumah yang tidak berdinding, digigit di bahagian dahi oleh kumpulan kera liar yang datang menceroboh rumah mereka.
Siti Najwa yang ketika itu berada di dalam bilik tidur, hanya menyedari kejadian tersebut apabila mendengar tangisan kuat anak keduanya itu, sebelum dia meluru ke dapur dan melihat kumpulan kera liar.
Ketika itu, seekor daripada kera terbabit yang mempunyai badan lebih besar daripada bayinya, berada di dalam buaian.
Akibat serangan itu, bayinya mengalami dua luka sepanjang lima sentimeter pada bahagian dahi dan terpaksa menerima 14 jahitan.
Kata Siti Najwa, jahitan pada dahi anaknya itu akan dibuka hari ini di Hospital Kemaman, Chukai.
“Sekarang rasa trauma sudah berkurangan, tapi saya masih belum berani tinggalkan bayi tidur sendirian. Kalau terpaksa tinggalkan bayi seketika, saya akan tinggalkan pada ahli keluarga lain yang tinggal serumah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Gelugor, Wan Engah Wan Mokhtar berkata, kera ditembak itu dikenal pasti sebagai kera yang menggigit dahi mangsa.
“Kera itu gigit bahagian kepala bayi dipercayai kerana mahu membawa bayi itu ke atas pokok, sebab saiz bayi lebih kecil daripada binatang itu. Tapi penduduk kampung bersyukur sebab dalam tempoh hanya seminggu selepas perangkap dipasang, seekor daripada kumpulan kera terbabit berjaya ditembak,” katanya.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Yusoff Shariff berkata, kera yang ditangkap itu dilupuskan dan pihaknya kini masih memburu dua lagi kera dan perangkap juga masih dipasang.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih diatas sokongan anda semua