KOTA BHARU - Pembinaan Fasa 2A Projek Lebuh Raya Kota Baharu-Kuala Krai dari Kadok ke Ketereh melibatkan kos RM170 juta akan bermula awal tahun hadapan, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.
Beliau berkata projek sepanjang 6.4 kilometer itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun, iaitu pada tahun 2018.
"Insya-ALLAH kita akan tender Fasa 2A ini pada bulan Julai di mana urusan tersebut dijangka mengambil masa selama lima bulan dan projek akan bermula awal tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Mesra Belia Jom ke Putrajaya 2014 Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan Fasa 1B kini giat dijalankan di mana urusan pengambilan balik tanah telah diselesaikan hampir 85 peratus dan pelaksanaan kedua-dua fasa berkenaan akan berjalan serentak.
"Pelaksanaan kedua-dua fasa tersebut akan berjalan serentak memandangkan ia akan dilaksanakan oleh kontraktor yang berbeza, bukan kontraktor yang sama," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program itu, Makhtar berkata pihaknya akan menghulurkan sumbangan RM10,000 sebagai dana tambahan kepada kontinjen belia
Kelantan yang akan ke Festival Belia Putrajaya 2014 yang akan berlangsung pada 23 hingga 26 Mei ini.
"Sumbangan tersebut kita berikan sebagai token tambahan untuk kontinjen dalam membuat persiapan ke peringkat kebangsaan. Kita beri sebagai satu insentif kepada mereka dan sekiranya program ini berjaya, kita akan terus membantu mereka," katanya.
Kontinjen Kelantan akan dianggotai kira-kira 300 peserta ke festival tersebut dengan sasaran untuk menjadi johan dalam acara dikir barat, nasyid dan tilawah.
Dalam majlis itu, Anugerah Belia peringkat negeri dimenangi Mohd Norfazly Mohd Daud bagi kategori lelaki dan Nurul Asmad Che Harun bagi kategori perempuan sementara Persatuan Belia Felda Aring 1 dari Gua Musang menjadi Johan bagi kategori Pertubuhan Belia peringkat negeri.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan (MBK), Mohd Syahbuddin Hashim. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Terima kasih diatas sokongan anda semua