Monday 14 April 2014

SYABAS BUAT BOMBA BACHOK-BESAR JASA MEREKA BUAT PENDUDUK KG KUBANG TELAGA



Fakaruddin Berahim (kiri) bersama anggotanya mengisi air ke dalam tangki bagi pengurusan jenazah Zakari Mat Hassan di Kampung Kubang Telaga, Bachok, Kelantan, semalam.


BACHOK 13 April - Ketiadaan bekalan air di Kampung Kubang Telaga di sini sejak lebih tiga bulan lalu menyebabkan sebuah keluarga terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi menguruskan jenazah anggota keluarga mereka yang meninggal semalam.

Jenazah Zakari Mat Hassan, 66, yang meninggal dunia kira- kira pukul 3.15 petang itu dimandikan selepas tiga jam dengan bantuan bekalan air daripada pihak bomba.
Menurut abang iparnya, Mohd. Salleh Zakaria, 63, Zakari sebelum itu bermain wau di padang berdekatan dan mandi di parit berhampiran memandangkan ketiadaan bekalan air di rumahnya.

“Dia (Zakari) yang tiba di rumah kemudiannya mengadu sakit dada sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kubang Telaga, Rosle Abdul Kadir berkata, dia yang dimaklumkan me­ngenai kejadian itu terpaksa mengadakan perbincangan dengan penduduk apabila sukar mendapatkan bekalan air bersih untuk memandikan jenazah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dengan keadaan air perigi yang hampir keseluruhannya kering akibat kemarau manakala jarak sungai yang jauh dari rumah Allahyarham telah menimbulkan kesulitan untuk menyempurnakan jenazah.

“Saya terpaksa menghubungi bomba dan penyelamat Bachok dan memohon mereka menghan­tar bekalan air bagi urusan me­nyem­purnakan jenazah.
“Alhamdulillah pasukan bomba bersama jenteranya yang tiba pada pukul 6 petang berjaya meleraikan kebuntuan semua pihak termasuk ahli keluarga Zakari mendapatkan bekalan air," katanya.

Tambahnya, jenazah yang dimandikan itu kemudian disema­dikan di tanah perkuburan Islam berhampiran kira- kira pukul 10 malam tadi.
Dalam pada itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok, Fakaruddin Berahim berkata, ia adalah kes pertama pada tahun ini dalam urusan memandikan jenazah.

“Keadaan bekalan air sejak kebelakangan ini semakin kritikal. Kami banyak dapatkan sumber air terbuka (sungai dan parit) berbanding pili bomba yang ketiadaan," katanya.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih diatas sokongan anda semua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...