Wednesday 27 February 2013

LANTIKAN KONTRAK MENDAPAT PERHATIAN

SPA SUDAH TEMUI HAMPIR SEPARUH PEGAWAI LANTIKAN KONTRAK KERAJAAN


 PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sudah menemui hampir separuh daripada kira-kira 50,000 pekerja kontrak kerajaan untuk mendengar dan seterusnya berusaha menyelesaikan masalah berkaitan taraf perkhidmatan mereka.

Pengerusinya Tan Sri Mahmood Adam berkata Jawatankuasa Mengkaji Masalah Pegawai-pegawai Lantikan Kontrak SPA Selasa mengadakan perjumpaan dengan wakil pegawai-pegawai kontrak dari Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), yang merupakan salah satu daripada tiga badan kerajaan yang mempunyai pegawai kontrak dalam jumlah yang banyak.

Beliau berkata dua lagi badan kerajaan yang mempunyai pegawai kontrak dalam jumlah yang agak besar ialah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) (kalangan guru-guru KEMAS), dan petugas dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Katanya jawatankuasa itu akan menyelaras setiap masalah yang dikemukakan dan akan melihat sekiranya ia dapat diselesaikan dengan segera dalam satu pertemuan wakil pegawai kontrak berkenaan dengan wakil-wakil dari jabatan yang berkaitan seperti SPA, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), KPKK sendiri, dan sebagainya.

Bercakap pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil pegawai lantikan kontrak dari KPKK di sini beliau berkata, bagi masalah lebih rumit yang dilihat hampir mempunyai persamaan di kalangan pegawai di ketiga-tiga agensi berkenaan, pihaknya akan membuat penyelarasan dan mengemukakan syor kepada kerajaan mengenai cara menanganinya.


MASALAH 50,000 KAKITANGAN KONTRAK DITANGANI

PUTRAJAYA 30 Jan. - Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menangani masalah kira-kira 50,000 penjawat awam berstatus kontrak di tiga jabatan kerajaan mulai bulan depan.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam berkata, usaha itu perlu kerana hanya tiga jabatan itu mempunyai pegawai dan kakitangan kontrak bagi tempoh perkhidmatan sehingga tiga tahun berbanding jabatan lain yang berstatus sambilan atau sementara.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

Tiga jabatan tersebut, katanya, adalah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Kementerian Penerangan.

"Ada dalam kalangan mereka telah berkhidmat lebih 30 tahun, gaji permulaan yang rendah, tidak memahami skop tugas dan lain-lain berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 120 wakil penjawat awam berstatus kontrak di bawah JPNIN di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan.

Mahmood berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penjawat awam terbabit sebelum dibentangkan kepada kerajaan untuk tindakan selanjutnya.

Malah, beliau menambah, jawatankuasa itu juga berperanan mengumpul data berkenaan jumlah sebenar penjawat awam berstatus kontrak di tiga jabatan itu.

"Maklumat sedemikian perlu bagi memudahkan perancangan kerajaan dalam menangani masalah yang dihadapi oleh penjawat awam tersebut," katanya.
 
 
 
SERAP 50,00 KAKITANGAN KONTRAK
 
PUTRAJAYA 31 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menolak penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji kedudukan kira-kira 50,000 kakitangan awam kontrak sebaliknya menggesa kumpulan tersebut diserap terus ke jawatan tetap di pelbagai jabatan kerajaan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, langkah itu merupakan jalan penyelesaian yang sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu lagi bagi menyelesaikan masalah kakitangan kontrak.

Katanya, penubuhan jawatankuasa khas tidak akan dapat dapat menyelesaikan dilema kakitangan kontrak yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

"Menjelang 2020 ini sepatutnya sudah tidak ada lagi perkataan kajian, apa yang penting adalah membuat lantikan tetap terhadap pekerja kontrak sedia ada.

"Ada di antaranya merupakan lantikan SPA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pihak berkuasa tempatan tempatan (PBT) dan pelbagai jabatan lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Bersama Wakil Jabatan dan CUEPACS negeri-negeri Kesatuan Pembantu Am Pejabat Semenanjung Malaysia (KPAP), di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan SPA untuk mewujudkan jawatankuasa khas menangani masalah hampir 50,000 kakitangan kontrak dalam perkhidmatan awam.

Pengerusi SPA, Tan Sri Mahmood Adam berkata, jawatankuasa khas itu akan dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan berkaitan termasuk JPA dan Kementerian Kewangan.

Mengulas lanjut Omar berkata, kakitangan kontrak perlu diberi peluang ke jawatan tetap kerana ada di antara mereka sudah berkhidmat lebih 50 tahun.

"Mereka perlu diberikan peluang yang sama seperti kakitangan tetap.

"Apa yang nak dikaji lagi, apa yang penting sekarang ini wujudkan jawatan dan tetapkan jawatan mereka," katanya.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih diatas sokongan anda semua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...