Monday 2 February 2015

Penentuan Titik Tengah Semenanjung Malaysia





Pengenalan
 
Titik tengah merupakan bahagian di antara hujung dengan pangkal. Sebelum ini ada dua pendapat popular  mengenai kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu di Kampung Belimbing, daerah Lipis dan Kampung Kertau, daerah Maran di Pahang.
 
Kaedah Penentuan Lokasi Titik Tengah
 
Pada tahun 2009, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melakukan kajian komprehensif untuk menentukan titik tengah sebenar Semenanjung Malaysia dengan menggunakan beberapa kaedah. 
 
Berdasarkan rupa bentuk muka bumi tanah Semenanjung - melakukan pengiraan dengan menghubungkan titik-titik pada bahagian paling hujung Semenanjung menggunakan garisan di mana titik tengah Semenanjung Malaysia dikenal pasti berdasarkan pertemuan garisan berkenaan iaitu di Hutan Simpan Ulu Cheka, Lipis.
 
Pengiraan jisim - pengiraan jisim secara abstrak dengan mengandaikan kedudukannya pada x bersamaan 63626.711462 dan y (446971.55564) iaitu di Jerangsang, Benta, Lipis.
 
Kaedah matematik - menghubungkan titik paling jauh dengan titik paling dekat menggunakan 37,371 titik iaitu di Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh.
 
Temerloh-Titik Tengah Semenanjung Malaysia
 
Kerajaan negeri memutuskan cara terbaik menentukan titik tengah ialah :
 
Berasaskan kepada keputusan yang boleh dicabar secara saintifik supaya ia dapat dibuktikan dan lebih praktikal. 
 
Penentuan itu juga dibuat dengan mengambil kira kedua-dua lokasi terdahulu yang menggunakan kaedah rupa bentuk muka bumi dan pengiraan jisim terletak di kawasan hutan dan sukar dikunjungi. 
 
Dari segi `common sense', kedudukan Lanchang, Temerloh memang terletak di antara Lipis dan Maran.
 
Mengambil kira kedudukan stesen Pusat Remote Sensing Negara (MACRES) dan PULARES yang secara strategiknya terletak di Temerloh.
 
Dari segi jarak perjalanan, Temerloh terletak tengah-tengah iaitu antara Kuantan dan Kuala Lumpur atau antara pantai barat dan timur
 
Oleh itu, kerajaan negeri telah memutuskan bahawa Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih diatas sokongan anda semua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...