PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata masih banyak perkara yang sedang ditimbang dan akan dilaksanakan kerajaan semata-mata untuk menjaga kebajikan para penjawat awam di Malaysia ketika ini.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan selama ini menjadi bukti keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap kebajikan para penjawat awam.
Beliau berkata Cuepacs berharap wujud kesinambungan dalam pentadbiran negara, agar apa yang dilaksanakan kerajaan selama ini dalam soal menambah baik aspek kebajikan para penjawat awam seperti pengenalan skim saraan transformatif, taraf perkhidmatan kakitangan, pergerakan gaji, kenaikan pangkat, pemberian bonus dan sebagainya, akan dapat diteruskan lagi.
"Pelancaran PPA1M hari ini juga menunjukkan bahawa kerajaan mendengar kehendak penjawat awam, memang ini yang kita mahukan, subsidi kerajaan kepada penjawat awam untuk beli rumah," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) oleh Perdana Menteri di sini Khamis.
PPA1M merupakan inisiatif kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik khusus buat penjawat awam di bandar-bandar utama seperti Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Omar berkata ketika ini tidak ada sebab bagi para penjawat awam untuk tercicir daripada landasan sokongan terhadap kerajaan berdasarkan kepada apa yang telah diberikan kepada mereka selama ini.
Beliau berkata sejak lima tahun kebelakangan ini, Cuepacs mendapati kira-kira 22 perkara baru diperkenalkan kerajaan khusus untuk menjaga kebajikan para penjawat awam semata-mata.
Menurutnya, beliau berpendapat pentadbiran sedia ada perlu dikekalkan selepas pilihan raya bagi memastikan wujudnya kesinambungan dalam perjuangan menjaga kebajikan para penjawat awam.
Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turut serta pada sidang media itu berkata PPA1M dilancarkan di Putrajaya kerana kerajaan faham dengan kehendak masyarakat setempat yang mahukan peluang memiliki rumah dan bermastautin di sini.
Beliau yang diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi parlimen Putrajaya sekali lagi baru-baru ini berkata kira-kira 90 peratus penduduk Putrajaya adalah penjawat awam, dan menurutnya beliau memang mendengar dan faham dengan permintaan ramai penjawat awam di sini yang berhasrat memiliki terus unit rumah kerajaan yang didiami mereka.
Katanya beliau telah menerangkan bahawa unit itu disediakan khusus untuk penjawat awam yang bertugas di sini, dan kerajaan yang prihatin mendengar hasrat mereka untuk memiliki rumah di Putrajaya, menawarkan PPA1M sebagai jawapannya.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih diatas sokongan anda semua