Saturday 19 January 2013

Ulama Terengganu

 Haji Abdul Rahman Limbong



Haji Abdul Rahman Limbong merupakan seorang ulama memiliki peribadi yang sangat menarik dan warak. Beliau juga seorang ulama pejuang menentang penjajah di Terengganu yang sangat disegani. Nama sebenarnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Abdul Qadir. Sumber sejarah menerangkan bahawa ayahanda beliau berasal dari keturunan Patani. Tarikh kelahiran Haji Abdul Rahman Limbong sebenarnya tidak dapat dipastikan. Tapi dari sekian banyak maklumat dan rujukan dapat dipastikan beliau dilahirkan sekitar tahun 1285H/1868M.
Semasa kecilnya, seperti kanak-kanak lain, beliau dihantar oleh ayahandanya untuk mendalami pengajian agama Dan sememangnya di zamannya, perkembangan Islam cukup pesat. Oleh kerana itu tidak hairanlah jika beliau sejak kecil lagi sudah menerima pendidikan agama. Ada sumber-sumber yang menjelaskan bahawa sejak kecil lagi beliau menghabiskan masa bersama-sama bapa saudara beliau iaitu Haji Tun Muhammad Zain di Makkah. Setelah dewasa, beliau dibawa semula kembali ke Terengganu. Kepesatan perkembangan pondok-pondok pengajian yang begitu banyak di zaman itu mendorong beliau untuk mendalami lagi pengajian agama. Di antara pondok-pondok yang terdapat di jajahan Terengganu, pondok Tokku Palohlah yang terkenal serta menjadi tumpuan para pelajar. Timbullah keinganan beliau untuk mengaji di pondok Tokku Paloh. Sebelum itu, sebagai persiapan ke pondok Tokku Paloh, beliau terlebih dahulu berguru kepada Tuan Guru Haji Yaakob Paya Bunga
dalam pelajaran nahu saraf dan feqah. Dan beliau dikatakan hanya mengambil masa selama kira-kira dua bulan sahaja untuk menguasai pelajaran tersebut.

Dikatakan juga bahawa Haji Abdul Rahman Limbong sebagai seorang murid yang agak luar biasa kecerdasan akalnya. Sehingga dengan itu beliau mampu untuk mengajar murid-murid Haji Yaakob Paya Bunga yang lain. Dan sememangnya sejak kecil lagi telah terlihat pada diri beliau tanda-tanda yang beliau akan menjadi seorang tokoh yang terkenal dalam sejarah.
Setelah tamat mengaji kepada Haji Yaakob Paya Bunga, beliau mengaji pula kepada Haji Wan Musa. Dengan ilmu yang telah diperolehi dari Haji Yaakob Paya Bunga dan Haji Wan Musa, barulah beliau mula untuk merapatkan diri dengan pondok pengajian Tokku Paloh. Untuk pergi ke pondok pengajian Tokku Paloh dari tempat kediaman beliau, terpaksalah beliau berulang alik menaiki perahu. Semuanya ini dilakukan dengan penuh kesabaran dan ketabahan demi mendalami lagi pengetahuan agama. Hal yang semacam inilah yang dilalui oleh para ulama di zaman beliau sebelum mereka terkenal sebagai seorang ulama terkemuka.
Pada peringkat awal pengajian beliau dengan Tokku Paloh, beliau hanya menjadi khadam kepada Tokku Paloh. Beliau bertugas sebagai menyapu halaman rumah, membersihkan surau, menyediakan kayu api, mengisi air di kolah surau dan sebagainya. Dan sememangnya cara sedemikian dilalui oleh kebanyakan para ulama sufi demi peningkatan rohani. Melalui pendidikan seperti inilah akhirnya mereka menjadi tokoh-tokoh terkemuka di zaman mereka. Dan ini juga merupakan salah satu proses pendidikan tasauf demi untuk melahirkan manusia yang benar-benar bertaqwa.
Lama kelamaan, kelakuan beliau akhirnya diketahui oleh Tokku Paloh. Timbul rasa kasih Tokku Paloh terhadap beliau kerana kesungguhannya untuk belajar. Dan akhirnya beliau diterima menjadi murid kepada Tokku Paloh dan belajar bersama-sama pelajar-pelajar lain.
Haji Abdul Rahman Limbong mempunyai kecekapan yang agak luar biasa. Dalam masa yang singkat sahaja beliau dapat telah menguasai segala pelajaran yang diajarkan. Di samping itu beliau terkenal sebagai seorang yang sangat menghormati guru. Segala suruhan serta arahan guru-gurunya, dilaksanakan serta dipatuhi dengan segera. Apabila berhadapan dengan tuan gurunya, Tokku Paloh, beliau tidak pernah untuk mengangkat muka, betapalah pula untuk bertentangan mata. Kerana semuanya ini merupakan adab-adab dalam berguru sebagaimana yang telah diterangkan dengan panjang lebar oleh Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin.

Oleh kerana beliau boleh dikatakan di antara murid Tokku Paloh yang terpintar serta baik akhlaknya, maka tidak hairanlah mengapa Tokku Paloh begitu sayang dan kasih terhadap beliau. Tokku Paloh semacam mengharapkan Haji Abdul Rahman Limbong sebagai pengganti beliau selepas beliau meninggal dunia. Dan akhirnya ternyata bahawa Haji Abdul Rahman Limbong mewarisi kepimpinan serta perjuangan yang dilaksanakan oleh Tokku Paloh.

Oleh kerana beliau menjadi khadam kepada Tokku Paloh, membuat kerja yang berbagai-bagai, maka kuranglah masa beliau untuk dapat menghadiri majlis pengajian ilmu. Oleh kerana itu beliau hanya mendengar pengajian di tepi kolah sambil menatap kitab yang digunakan oleh Tokku Paloh. Hal ini dilakukan tanpa disedari oleh sesiapa pun. Dan apabila selesai sahaja pengajian, beliau menyembunyikan kitabnya di celah-celah atau surau. Ini menunjukkan yang yang beliau tidak mahu diketahui turut sama-sama belajar dengan murid-murid Tokku Paloh yang lain.
Oleh kerana Tokku Paloh memimpin tarekat Naqsyabandiyah, maka dengan tidak secara langsung Haji Abdul Rahman Limbong juga turut mengamalkan tarekat tersebut. Tarekat Naqsyabandiyah boleh juga dikatakan sebagai satu tarekat yang cukup terkenal serta banyak diamalkan dari dahulu sehinggalah ke hari ini. Di gugusan Kepulauan Melayu, tarekat Naqsyabandiyah boleh dikatakan memenuhi pondok-pondok pengajian di masa itu. Dan oleh kerana itu, peranan tarekat ini cukup besar sekali dalam pembentukan masyarakat Islam di sebelah sini.
Hasil dari pengajian tasauf serta amalan tarekat Naqsyabandiyah, lahirlah pada diri beliau sifat-sifat yang terpuji seperti zuhud, merendah diri, berakhlak tinggi dan sebagainya. Di antara sikap beliau ialah tidak suka menonjolkan diri walaupun beliau boleh dikatakan sebagai murid yang terpintar di antara murid-murid yang lain. Oleh kerana itu kita dapat difahamkan bahawa beliau lebih suka mengasingkan diri dari murid-murid Tokku Paloh yang lain. Beliau juga dikatakan mengulangkaji segala pelajaran secara bersendirian. Keadaan seumpama ini adalah melambangkan keperibadian seorang yang layak menjadi tokoh di tengah masyarakat. Sebab itu tidak hairan mengapa orang yang seumpama ini tetap menjadi ikutan serta tumpuan orang ramai.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih diatas sokongan anda semua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...