• Tak tahan masalah air  
  • Abdul Halim (duduk) bersama penduduk kampung yang cuba menadah air paip tetapi bekalan terputus sejak sebulan lalu.
KOTA BHARU - Penduduk di Kampung Sungai Limbat, Peringat, di sini, tidak tahan lagi berdepan  masalah bekalan air bersih yang berlarutan hampir sebulan lalu.

Masalah itu menyebabkan 200 penduduk terpaksa mendapatkan bekalan air bersih di telaga dan ada juga yang mandi di masjid ekoran bekalan air paip yang kering-kontang, dan menyukarkan urusan harian.

Seorang penduduk, Abdul Halim Ariffin, 52, berkata, masalah itu tidak berkesudahan walaupun telah diajukan kepada pihak berkenaan.

“Kami buntu dengan masalah ini yang menyebabkan kami sukar mendapatkan bekalan air bersih untuk mandi, memasak, membasuh dan melakukan urusan seharian.

“Hampir setiap hari saya terpaksa mendapatkan bekalan air di kawasan telaga yang juga hampir kering memandangkan cuaca sekarang amat panas," katanya.

Menurutnya, lebih memeritkan ketika musim kenduri kahwin yang turut memaksa penduduk membeli bekalan air mineral untuk menyediakan minuman dan untuk membasuh.

Seorang lagi penduduk kampung, Lee Chun Tin, 61, berkata, masalah air kali ini amat memeritkan dan perlu tindakan segera untuk menyelesaikannya.

“Kami sudah tidak tahan kerana masalah ini berlarutan selama sebulan tanpa apa-apa tindakan.

“Ia melibatkan 20 rumah di kampung ini. Kami terpaksa mengangkut air bersih dan bimbang jika masalah ini berterusan, lebih-lebih lagi jika berlaku kematian. Harap masalah ini segera diatasi oleh pihak berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Ir Mohamad Hanafi Mahmud memaklumkan telah menerima laporan dan pihaknya berusaha mengatasi masalah tersebut.

“Masalah ini berlaku ekoran musim kemarau. Kami berusaha agih penghantaran bekalan air ke kawasan bermasalah semaksimum mungkin,” katanya. Dipetik Dari Sinar Harian