Sunday 17 May 2015

Adakah Benar Rakyat Malaysia Ramai Yang Gemuk





Kuala Lumpur: Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (IV) menunjukkan Malaysia mempunyai rakyat ‘paling gemuk’ tertinggi di Asia Tenggara dan keenam di Asia Pasifik.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Majlis Perubatan Malaysia (MMA) Dr Azizan Abdul Aziz berkata, sebanyak 29.4 peratus rakyat Malaysia lebih 18 tahun mempunyai berat badan berlebihan manakala 15.1 peratus mengalami obesiti.
Katanya, itu bermakna dua dalam lima orang dewasa di negara ini mengalami obesiti.
“Kelaziman obesiti bagi remaja bawah umur 18 tahun sekarang ialah 6.1 peratus.
“Ini memberi impak kepada kesihatan umum kerana obesiti adalah faktor penyakit kronik seperti kencing, sakit jantung dan penyakit barah tertentu,” katanya ketika berucap pada Program Fun Dance & Family Fiesta anjuran MMA di sini semalam.
Program dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Turut hadir Presiden MMA Dr Krishna Kumar dan Pengerusi MMA Kuala Lumpur Prof Madya Dr Andrew Tan.
Terdahulu, lebih 2,000 peserta menyertai senaman zumba selama 90 minit seawal jam 7 pagi.
Dr Azizan yang juga Pengerusi Penganjur program berkenaan berkata, program saringan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) secara percuma kepada pekerja berusia 40 tahun ke atas adalah program yang baik untuk mengesan penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, obesiti dan paras kolesterol yang tinggi dalam darah.
Pada sidang media selepas itu, Tengku Adnan berkata, kementeriannya bercadang menjadikan senaman zumba sebagai aktiviti bulanan di Taman Tasik Titiwangsa dalam usaha melahirkan masyarakat kota sihat dan bebas obesiti.
Katanya, pihaknya akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

No comments:

Post a Comment

Terima kasih diatas sokongan anda semua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...