• Fosil dinosaur berusia Jura-Kapur ditemui
KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini mengumumkan penemuan fosil dinosaur berusia Jura-Kapur di sekitar Gunung Gagau di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.
  
Katanya, penemuan itu diperoleh hasil ekspedisi Gagau-Menjejak Dinosaur 2014 selama 10 hari bermula 13 Oktober lepas yang dilaksanakan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Kumpulan Warisan Geologi Malaysia (KWGM).
  
Ekspedisi itu disertai tujuh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Malaysia Kelantan, dua kakitangan pegawai Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu serta 10 pegawai Geosains, katanya.
  
Ahmad Razif berkata, ekspedisi itu menemui dua fosil gigi, beberapa kesan tapak kaki dari enam kawasan dan empat tulang dinosaur dari kumpulan Theropod serta Sauropod dan dinosaur spesies Iguanodon di Sungai Chichir, Gunung Gagau.
  
"Gunung Gagau terletak di sempadan Terengganu-Kelantan-Pahang yang mana ekspedisi berkenaan turut menemui fosil tumbuhan, kayu terpetri dan singkapan batu arang di Sungai Pertang.

"Alhamdulillah, dengan penemuan ini saya yakin ia akan memberi kekuatan dan tambah nilai ke arah merealisasikan hasrat untuk menjadikan Geopark Tasik Kenyir sebagai Geopark Kebangsaan dan diiktiraf sebagai Geopark Global Unesco," katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
  
Ahmad Razif berkata, pihaknya berharap Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia akan meneruskan usaha secara lebih terperinci dan pihak kerajaan negeri menyokong penuh usaha tersebut serta bersedia menyediakan bantuan sewajarnya bagi menjayakan projek berkenaan.
  
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Datuk Yunus Abdul Razak berkata penemuan tersebut memberi keyakinan bahawa terdapat fosil dinosaur di Malaysia.
  
"Sebenarnya, kita memang sudah lama mencari fosil-fosil ini yang mana kita mencari di kawasan yang mempunyai batuan berusia Jura-Kapur dan berdasarkan
kajian, dinosaur hanya wujud di kawasan batuan ini sahaja dan di Malaysia, hanya dua tempat yang ada batuan berusia Jura-Kapur ini iaitu di Gunung Gagau ini dan di Gunung Panti, Johor.
  
"Penemuan fosil dinosaur lebih daripada 20 spesies di Dataran Tinggi Korat, Thailand sebenarnya yang membina semangat kami untuk mencari dinosaur ini di sini dan Alhamdulillah, selepas berpanas dan berhujan hasil penat lelah kami terbayar dengan penemuan ini," katanya. - Bernama