Saturday, 18 May 2013

ILMU FALAQ



Fenomena Falak : Antara Keseronokkan dan Kegemparan




Aktiviti Cerapan

Alhamdulillah, Cerapan Gerhana Bulan Separa dan Cerapan Transit Venus yang lepas sudah berjaya dilakukan. Cerapan Gerhana Bulan Separa telah dijalankan di Kem PGA Ulu Kinta, Ipoh berserta dengan Solat Sunat Gerhana Bulan. Walaupun agak terlewat artikel ini keluar setelah banyak artikel meng’kisah’kan fenomena-fenomena ini, namun sekadar satu coretan buat bacaan dan kenangan. Cerapan pada hari tersebut, seperti yang dijangka bulan agak sukar kelihatan kerana kedudukannya di langit timur agak rendah, dan ditambah pula cuaca yang agak berawan pada hari tersebut. Hampir masuk solat Isya’ barulah bulan purnama dapat kelihatan, walaupun dalam samar-samar awan. Bagaimanapun cerapan tersebut, berjaya membuka ‘mata hati’ peserta-peserta yang kebanyakkannya terdiri anggota-anggota PGA yang penuh disiplin datang pada malam tersebut, pertama kali didedahkan dengan maklumat falak berkaitan dengan gerhana bulan ini.

Cerapan Lintasan Zuhrah pula membawa saya dan ‘team Jabatan Mufti’ ke pantai timur nun di UNISZA, Terengganu. Alhamdulillah, cerapan yang dilakukan bersama guru-guru falak bersama Cikgu Baha dan Cikgu Mat, menjentik nostalgia waktu ‘muda-muda’ dulu bila ‘dok’ bergelumang di bumi KUSZA ( sekarang UNISZA). Cerapan Lintasan Zuhrah yang bermula awal-awal pagi hari tersebut riuh-rendah dengan ‘arahan’ dari masa ke semasa oleh Cikgu Baha. Awan yang mulanya ‘on-off’juga pada pagi ‘tu’. Tapi bila jam 10.00 pagi, langit semakin ‘jernih’ dan matahari jelas kelihatan. Berdasarkan data ketika ini Zuhrah sudah berada ditengah-tengah, namun di sebelah tepi kiri matahari.


Para tetamu yang hadir ada yang pelik, ada yang teruja, ada yang ‘kelabu’(terjemahan kepada ‘blur’) tentang apa yang berlaku pada hari tersebut. Namun rata-rata kesemua yang hadir seronok dengan ‘pengalamang’ ( pengalaman- dalam baku) buat kali pertama melihat fenomena lintasan Zuhrah. Kaedah cerapan Zuhrah boleh dipelbagaikan. Selain dengan mengunakan teleskop yang menggunakan penapis, kita juga boleh menggunakan layar putih seperti kertas putih. Layar ini seolah-oleh berfungsi seperti ‘Screen’. Imej dari teleskop yang tidak mempunyai penapis dipancarkan ke layar. Ini dilakukan dengan meletakkan layar ke ‘eyepiece’ teleskop. Namun elok juga jika diletakkan amaran supaya di teleskop agar tetamu jangan melihat terus ke teleskop kerana ia sangat merbahaya. Jika susah-susah sangat, gunakan saja ‘eclipse glasses’ dan kita boleh melihat terus ke arah matahari. Kita masih boleh melihat planet Zuhrah melintasi matahari ketika itu. Tapi imejnya tidaklah sebesar imej di dalam teleskop. Berbaloi jugalah berpanas terik sampai masuk Zuhur, barulah semuanya berkemas.

Fenomena Falak : Antara Keseronokkan Atau Kegemparan

Namun menarik juga untuk saya kongsikan di sini, bagaimana fenomena-fenomena falak ini, seperti Gerhana dan Lintasan ini adakah ia sepatutnya mengundang rasa seronok atau takut. Mungkin kita boleh melihat kembali hadis di dalam Syarah Imam Nawawi (Hadis : 2067) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abi Musa r.a berkata :

خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِيْ زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُوْنَ السَّاعَةُ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلَ قِيَامٍ وَرُكُوْعٍ وَسُجُوْدٍ مَا رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِيْ صَلاَةٍ قَطُّ، ثُمَّ قَالَ: اِنَّ هَذِهِ الْاَيَاتِ الَّتِى يُرْسِلُ اللهُ لَا تَكُوْنُ لِمَوْتِ اَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّ اللهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ، فَاِذَا رَاَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوْا اِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ.

Bermakna : ”Ketika zaman Rasulullah SAW hidup gerhana matahari telah berlaku, maka baginda bangun tergesa-gesa kerana bimbang hari Kiamat sudah tiba, lalu Baginda bersegera ke masjid. Maka baginda pun bersolat dengan berdiri, rukuk dan sujud yang lama, dan aku tidak pernah melihat selama ini baginda solat begitu. Kemudian beliau bersabda: Sesungguhnya inilah ayat-ayat yang dikirimkan oleh Allah, yang terjadinya bukan kerana kematian seseorang atau kehidupannya tetapi Allah mengirimkannya untuk menakuti para hambanya. Oleh sebab itu, apabila kalian melihatnya maka segeralah ingat kepadanya, berdoa memohon ampun kepadanya.”

Ulasan hadis :

Hadis ini mengambarkan kepada kita bagaimana satu ketika gerhana telah berlaku pada zaman nabi SAW. Jika diperhatikan zahir hadis ini, Nabi SAW menyambut fenomena gerhana dengan solat, zikir, berdoa dan istighfar.

Perhatikan kata (فَقَامَ فَزِعًا) yang bermaksud ‘lantas Baginda bangun bingkas tergesa-gesa’. Bahasa arab merupakan satu bahasa yang sangat halus. Huruf ‘fa’pada kata ‘qama’ di dalam hadis di atas digandingkan. Ini memberikan satu gambaran kepada satu respon segera yang tidak memerlukan sebarang sela masa yang lama bagi memikirkannya. Abu Musa dalam hadis ini kemudian menambah lagi dengan mengambarkan ‘na-at’ (kelakuan) iaitu ‘faz-an’ yang memberi maksud‘tergesa-gesa.’ Di dalam bahasa arab ‘naat’ ( kelakuan) berbeza dengan sifat. Kelakuan bertujuan menghuraikan satu keadaan seseorang di dalam sesuatu keadaan, sementara sifat adalah sesuatu yang memang kekal pada sesuatu subjek. Contohnya jika kita menyatakan ‘Ali datang dalam keadaan tergesa-gesa’.Kelakuan ‘tergesa-gesa’ mungkin bukan sifat Ali, namun kerana ada hal yang sangat penting maka Ali kelihatan tergesa-tergesa pada hari itu. Namun jika kita katakan ‘Ali seorang yang pemurah’, itu mengambarkan sifat yang memang kekal pada Ali (subjek).

Maka dalam konteks hadis di atas jika diperhatikan, sifat Rasulullah SAW bukanlah seorang yang ‘tergesa-gesa’. Bahkan dalam banyak keadaan Nabi SAW sentiasa tenang dalam menghadapi setiap keadaan. Namun respon Rasul SAW terhadap ‘gerhana’ sangat pelik kerana Nabi SAW segera bangun dalam keadaan tergesa-tergesa. Ini sepatutnya menarik kita untuk memerhatikan hadis ini dengan lebih mendalam.

Mengapa Rasulullah bingkas bangun tergesa-tergesa? Rasulullah yang tenang tidak mungkin akan tergesa-gesa kecuali jika baginda Nabi SAW berhadaoan dengan satu perkara yang besar atau sangat besar. Mengapa? Ini kerana Rasul SAW takut hari kiamat sudah tiba. Nas hadis menyatakan ‘يَخْشَى أَنْ تَكُوْنَ السَّاعَةُ’ iaitu ‘baginda takut akan datangnya hari kiamat’. Kata ‘yakh-sya’ dan ‘ta-ku-na’ dalam bentuk kata perbuatan Mudhari’. Di dalam bahasa arab kata perbuatan Mudhari’ membawa maksud‘sedang berlaku’ atau ‘akan berlaku’. Adakah baginda nabi SAW tidak pasti, bimbang dan ketakutan, takut-takut hari kiamat sedang bermula dan sekejap lagi, adakah akan berlaku sesuatu yang lebih dahsyat!.

Apakah tanda yang menyebabkan Nabi SAW takut dan bimbang kiamat sudah hampir tiba? Itulah gerhana Matahari. Apakah jenis gerhana matahari yang sedang berlaku? Gerhana separa atau gerhana cincin tidak dapat dikenal pasti dengan mata kasar, kecuali seseorang itu mempunyai maklumat atau diberitahu berlakunya gerhana. Malah jika mahu melihatnya pun, kita memerlukan satu penapis untuk melihat matahari. Maka besar kemungkinan ia adalah gerhana matahari penuh. Gerhana matahari sememangnya satu kejadian yang sangat luar biasa samada jika dilihat pada fenomena itu sendiri atau pada kesannya. Cuaca cerah tiba-tiba menjadi gelap menyebabkan siapa saja akan kaget atau terpegun dengan fenomena ini. Pertukaran cerah kepada gelap ketika gerhana bukanlah seperti berlakunya pertukaran gelap malam dari cerah petang, tapi berlakunya itu dengan tiba-tiba dan mengejutkan.

Kesimpulan

Berdasarkan ulasan ringkas ini dapat kita perhatikan respon yang ditunjukkan oleh Rasul SAW. Baginda takut, bimbang dan resah kerana melihat gerhana itu sebagai alamat-alamat kiamat. Melihat kepada fenomena gerhana Nabi SAW ‘segera bingkas bangun dan bersegera’ kerana melihat satu perkara besar yang sedang berlaku iaitu gerhana Matahari. Adakah Rasulullah SAW tidak tahu, bahawa kiamat tidak akan berlaku kecuali ada alamat-alamat kecil atau besar yang berlaku terlebih dahulu sebelum kiamat itu berlaku? Adakah kiamat akan berlaku selepas berlakunya gerhana satu ketika nanti? Jawapan-jawapan pada persolan ini telah dijawab oleh para ilmuwan Islam.

Ini adalah ulasan ringkas sekadar yang saya mampu, yang mungkin tafsiran saya betul dan mungkin juga salah.Namun perkara yang lebih penting di sini ialah untuk menilai diri kita dan bukan orang lain, bagaimana respon kita terhadap fenomena-fenomena falak yang saban tahun kita cerap. Bukan sedikit masa, wang dan tenaga yang telah kita keluarkan bagi menjalankan aktiviti cerapan ini. Apakah dari setiap gambar-gambar dan kajian-kajian itu semakin membawa kita hampir dengan Allah SWT? Adakah keseronokkan ketika kita mencerap itu tidak pernah tercalit perasaan takut, risau atau bimbang kepada hari kiamat, sedangkan kita sebenarnya sedangkan menyaksikan satu daripada kedahsyatan kiamat? Apakah mereka yang mencerap bersama-sama kita turut merasai bahang kedahsyatan kiamat ini? Setiap imej yang kita ambil, saya rasakan saya penting. Usaha-usaha kita dalam berembun dan berpanas, insya Allah akan menerima pahala dan redha Allah jika setiap yang kita lakukan itu kerana Allah SWT. Namun jika ia sekadar untuk menambah koleksi atau mana-mana niat lain, maka itulah hasil kita perolehi. Ini kerana dalam men’gambar’kan situasi berkaitan fenomena falak, ‘gambar’ yang sebenar memang memberikan impak yang sangat berkesan dalam menjelmakan rasa dan teruja pada pendengar. Moga Insya Allah setiap cerapan atau aktiviti falak yang bakal kita jalankan nanti akan lebih terarah kepada satu arah yang jelas iaitu menambahkan keimanan kita. Inilah yang Allah SWT firmankan dalam surah ali-Imran 190-191 :


إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلأَرْضِ وَٱخْتِلاَفِ ٱلَّيلِ وَٱلنَّهَارِ لآيَاتٍ لأُوْلِي ٱلأَلْبَابِ. ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلأَرْضِ رَبَّنَآ مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ


Bermaksud : “190. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal; 191. (Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.

Inil adalah artikel yang ‘tepian’yang memerlukan penghujahan dan perbahasan yang lebih mendalam. Insya Allah, saya mohon dari Allah SWT untuk memberikan saya ruang masa, tenaga dan kefahaman untuk terus mengkaji tentang isu ini dengan lebih serius.

“Akitiviti cerapan tidak sekadar cerapan dengan mata kasar mahupun teleskop yang berupaya membesarkan imej. Ia tidak membawa apa-apa makna yang mendalam kiranya ‘magnifier’ini hanya sekadar membesarkan imej hilal atau jupiter, tanpa sekelumit pun membesarkan iman dan taqwa kita kepada Allah SWT.” – petikan artikel Rukyah Hilal berangkai Oposisi Jupiter.

Wallahu A’lam.

1 comment:

Terima kasih diatas sokongan anda semua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...