Jalan berhampiran Jambatan Gantung Kuala Nal turut menjadi kawasan tumpuan lembu liar
  •  Jalan berhampiran Jambatan Gantung Kuala Nal turut menjadi kawasan tumpuan lembu liar
KUALA KRAI - Orang ramai akan menerima habuan RM200 bagi setiap lembu liar yang ditangkap sedang berkeliaran di jalan utama di daerah ini dengan disertakan bukti, seterusnya diserahkan kepada Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK).

Yang Dipertua MDKK, Sukeri Hasan berkata, langkah tersebut diambil kerana kedegilan penternak melepaskan ternakan mereka di merata tempat walaupun telah diberikan peringatan dan amaran.

Menurutnya, tindakan melepaskan ternakan di merata bukan sahaja mengganggu lalu lintas, malah mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya di daerah ini yang menjadi laluan utama ke Pantai Barat.

"Kita dimaklumkan terdapat beberapa kes kematian dalam kalangan pengguna jalan raya di daerah ini akibat melanggar ternakan sepertimana berlaku di Batu Jong dan Padang Sembilan.

"Untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berulang, kita mengalu-alukan orang ramai menangkap lembu liar berkeliaran di jalan-jalan utama dengan syarat disertakan bukti bergambar di kawasan haiwan itu ditangkap dan diserahkan kepada MDKK atau ahli majlis daerah," katanya kepada Sinar Harian.

Sukeri berkata, MDKK telah mengambil inisiatif untuk membeli sumpit dan ubat pelali bagi menangkap lembu tetapi tidak dapat menjalankan operasi menyumpit lembu liar kerana ketiadaan kakitangan mahir menggunakan alat tersebut.

Katanya, semasa Mesyuarat Ahli Majlis Daerah baru-baru ini, terdapat cadangan supaya MDKK menggunakan khidmat masyarakat Orang Asli untuk menyertai operasi menangkap lembu.

"Cadangan itu masih dalam pertimbangan dan akan diputuskan selepas ini. Jika kakitangan tidak mahir guna sumpit, kita akan berdepan kerugian berikutan sumpitan tidak mengenai sasaran.

"Ada sumpitan yang mengenai sasaran tetapi ternakan tidak rebah disebabkan damak yang digunakan tidak menembusi kulit ternakan terbabit. Ini juga merugikan MDKK," katanya.

Tambahnya, MDKK turut mengenakan kadar kompaun tinggi ke atas haiwan ternakan yang berjaya ditangkap kali kedua dan seterusnya, namun penternak tetap berdegil serta terus melepaskan ternakan mereka di merata tempat.