Tuesday 9 July 2013

Melihat kebesaran ciptaan Allah


PADA 8 Julai lalu, umat Islam telah meneropong ke langit untuk melihat anak bulan awal bagi menandakan tarikh 1 Ramadan.
Jika dahulu ibu bapa ataupun nenek kita kerap menceritakan setiap kali pengumuman puasa atau raya dibuat pasti terdapat perbezaan tarikh berbanding yang tercatat pada kalendar.
Mohd. Hairul Nadhwa Rusman, 28, masih mengingati saat-saat menanti tarikh pertama bulan puasa ketika dia bersekolah dalam darjah dua iaitu ketika kali pertama dia belajar berpuasa.
"Saya rasa berdebar, tambahan pula apabila abang dan kakak menakut-nakutkan saya kononnya berpuasa boleh menyebabkan seseorang itu pengsan.
"Namun, ibu dan ayah beri semangat supaya berpuasa, jadi saya berbelah bahagi pada masa itu," katanya ketawa.
Jika puasa tidak jadi pada keesokan hari, anak ketujuh daripada lapan orang adik-beradik itu berasa gembira kerana dia masih boleh makan pada waktu siang untuk sehari lagi.
Dia yang telah berkahwin dan tinggal di Sabah mengakui mahu mendidik anak-anaknya nanti berpuasa sama seperti ibu bapanya mendidik anak-anak.
Pengalaman zaman kanak-kanak Mohd. Hairul sudah pasti turut dilalui mereka yang sama generasi, namun kini segala-galanya telah berubah.
Tahap kejituan tarikh yang terpapar pada kalendar sekarang sangat tinggi, jika dinyatakan ia jatuh pada hari esok, maka pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pasti pada tarikh yang sama.
Penetapan tarikh 1 Ramadan dan 1 Syawal tahun Hijrah ditentukan secara hisab dan rukyah di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Menurut Prof. Datuk Dr. Mohd. Zambri Zainuddin, keadaan tersebut berlaku kerana semua data yang dikumpul sejak tahun 1960-an seperti masa, tempat dan cuaca telah direkodkan.
Dengan rekod yang sedia ada, tarikh satu hari bulan dari Malaysia dan Indonesia disusun untuk menentukan tarikh tepat bulan Hijrah.
Antara syaratnya, keterangan anak bulan mesti lebih atau sama pada sudut dua darjah dari ufuk dan umur bulan tersebut ialah lapan jam ke atas.
Rata-rata masyarakat Malaysia sering kali mengaitkan astronomi atau falak syarie dengan aktiviti melihat anak bulan untuk menentukan tarikh kalendar, tarikh puasa serta arah kiblat sahaja.
Barangkali ia telah menjadi stereotaip. Ilmu angkasa dalam Islam hanya tidak terhenti setakat itu. Hakikatnya, jelas Zambri, Nabi Ibrahim merupakan manusia pertama yang mencerap langit menurut catatan al-Quran pada ayat 74 hingga 79 dalam surah al-An'aam.
Ayat tersebut menerangkan bahawa Nabi Ibrahim mencari Tuhan dengan memerhati peredaran matahari dan bulan.
Kemajuan sains astronomi dalam dunia Islam mencapai kemuncak sekitar kurun keenam hingga ke-18 apabila Khalifah al-Makmun menubuhkan Baitul Hikmah yang menjadi tempat pengumpulan cendekiawan pada masa itu.
Khalifah Abu Jafar al-Ma'mun ibn Harun (786-833), sering dikenali sebagai al-Ma'mun atau al-Makmun, merupakan seorang khalifah Kerajaan Bani Abbasiyyah dari tahun 813 sehingga 833 Masihi. Baginda ialah putera kedua kepada Khalifah Harun al-Rasyid dan menjadi khalifah bagi menggantikan abangnya, al-Amin.
Banyak buku sains berbahasa Yunani yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab telah membuat pembetulan terhadap kesalahan dalam teori yang dibuat oleh Ptolemy. Claudius Ptolemy hidup antara tahun 90 hingga 168 Sebelum Masihi.
Beliau merupakan penulis berketurunan Yunani-Romawi dari Iskandariyah, Mesir, tetapi memegang warganegara Rom. Beliau dikenali sebagai ahli nujum, matematik dan geografi.



 


Tokoh terkenal
Teori Ptolemy menyatakan bahawa semua benda sempurna dalam bentuk bulatan walhal ia berbentuk bulat bujur.
Terang Zambri, ramai tokoh Islam yang terkenal dalam bidang astronomi seperti al-Biruni mempunyai teknologi peralatan falak yang sangat jitu. Al-Biruni merupakan seorang sarjana Muslim dan pakar dalam pelbagai bidang pada kurun ke-11. Beliau diiktiraf sebagai ilmuan terhebat ketika era kegemilangan Islam dan mahir dalam ilmu seperti matematik, astronomi dan sains semula jadi.
Al-Biruni juga amat dikenali sebagai pakar sejarah, ahli kronologi dan bahasa. Sebanyak 95 daripada 146 buah buku yang ditulisnya didedikasikan kepada astronomi, matematik dan subjek yang berkaitan geografi matematik.
Antara tinggalan yang masih boleh dilihat pada hari ini ialah Balai Cerap Maragheh di Iran. Ia menjadi tumpuan para astronomi di seluruh dunia pada waktu itu dan Balai Cerap Ulugh Beg di Samarkand, Uzbekistan.
Terdapat tiga cabang dalam bidang astronomi iaitu astrometri, fotometri dan spektroskopi. Selain falak syarie, ilmu falak sebenarnya mempunyai banyak kegunaan kepada umat Islam terutamanya dalam ibadah.
Antaranya, kedudukan bintang-bintang di langit dapat menentukan arah kiblat pada waktu malam.
"Terdapat lebih 128 ayat dalam al-Quran yang menyebut mengenai ilmu falak," terang Zambri ketika ditemui di Makmal Fizik Angkasa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Kata Zambri, ilmu falak perlu dipelajari oleh setiap umat Islam demi menjaga kemashalatan umum. Sebagai contoh, planet Zuhrah pernah mempunyai permukaan yang sama dengan Bumi, tetapi telah mengalami kesan rumah hijau sehingga ia menjadi kering.
Kandungan karbon dioksida dalam planet tersebut kira-kira 98 peratus menyebabkan segala kelembapan planet tersebut telah tiada.
"Ilmu seperti menentukan arah kiblat menggunakan kedudukan bintang amat penting supaya kita tidak terlalu bergantung kepada kuasa luar," jelasnya.
Ilmu angkasa lepas juga diperlukan bagi membolehkan manusia bersedia jika wujud sebarang ancaman.
Misalnya, kes jatuhan meteorit di Rusia beberapa bulan lalu tidak dapat dikesan kerana teknologi kini hanya mampu memantau benda asing berukuran lebih 100 meter.
Ilmu astronomi juga penting supaya tidak berlaku kecelaruan maklumat terutamanya dalam dunia teknologi maklumat.
Pernah tersebar fakta mengatakan bahawa arah kiblat berubah selepas beberapa siri gempa bumi, namun dakwaan itu disangkal oleh Zambri.
Hujahnya, Bumi terdiri daripada dua paksi iaitu putaran dan magnet. Paksi putaran sentiasa stabil pada sudut 23.5 darjah, manakala paksi magnet terdiri daripada kutub utara dan selatan yang ada perubahan, tetapi terlalu sedikit.
Justeru, tiada isu perubahan arah kiblat kerana paksi putaran Bumi sentiasa stabil.
"Terdapat dua tarikh yang boleh menentukan dengan tepat arah kiblat pada tahun ini iaitu pada 28 Mei, pukul 5.16 petang dan 16 Julai, 5.28 petang," ungkapnya.
Jika dibuat perbandingan di negara-negara Asia Tenggara, Malaysia agak ketinggalan berbanding Thailand dan Indonesia, namun terdapat peningkatan kesedaran dengan wujudnya persatuan peminat ilmu falak.
Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datin Dr. Azizan Baharuddin berkata, sains dalam Islam bertujuan supaya umatnya mengenali dan mendekatkan diri dengan Tuhan serta untuk kemashalatan manusia sejagat.


ASTROLAB ini digunakan untuk mendapatkan arah kiblat.





Ilmu sains
Saintis Islam tidak pernah memisahkan agama dengan sains sehinggakan pakar bedah, al-Zahrawi mereka alat pembedahan dengan meletakkan potongan ayat al-Quran pada alatannya.
"Alat Astrolab yang merupakan komputer pertama di dunia dicipta oleh seorang wanita bernama Fatima. Ia jelas menunjukkan bahawa Islam tidak pernah menafikan hak wanita dalam mendalami ilmu pengetahuan," ungkap Azizan ketika ditemui di ibu pejabat IKIM, Kuala Lumpur.
Fatima Muhammad Al-Fihri merupakan pengasas institusi pendidikan tertinggi di peringkat sarjana yang masih beroperasi sehingga kini iaitu Universiti Qarawiyyin di Fes, Maghribi.
Selain untuk mengenal Tuhan dan beribadat, sains sangat berguna untuk kemudahan masyarakat seperti pembuatan jam.
Ia berbeza dengan ilmu pengetahuan Barat yang begitu mahal dimiliki, malah sesetengah ilmunya tidak memberi manafaat kepada awam.
Ilmu pada zaman Yunani pula didasari oleh agama anutan mereka pada waktu tersebut iaitu Paganisme. Ilmunya banyak bersifat idea tanpa bukti.
Menurut Azizan, pemisahan agama dengan ilmu berlaku pada kurun ke-17 apabila golongan Prostetan melakukan bantahan terhadap penyelewangan gereja Katolik ketika Zaman Gelap Eropah.
Sejak itu, berlaku pemisahan dan Perang Epistomologi antara golongan yang percayakan tuhan dan mereka yang tidak percayakan tuhan iaitu ateis.
"Dengan memerhati alam sekitar, kita melihat kebesaran Allah sekali gus menambahkan keimanan selain dapat menghormati kejadiannya," katanya sambil menolak istilah alam semula jadi. Kepada Azizan istilah yang lebih tepat adalah alam tabii.
Al-Quran yang diturunkan kepada manusia bersifat relevan untuk semua zaman.
"Kebanyakan ilmuan Islam membuat penemuan baharu secara tidak sengaja seperti bermimpi dan dibuktikan dengan melakukan kajian," kata Azizan yang menyarankan supaya umat Islam membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya.


 

Tuesday 2 July 2013

Ilmu falak hasilkan rumusan efemeris serta cerapan lebih baik kenampakan anak bulan

Ilmu falak hasilkan rumusan efemeris serta cerapan lebih baik kenampakan anak bulan

PERISYTIHARAN awal Ramadan atau tarikh hari raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu adalah detik ditunggu-tunggu untuk mendapatkan keputusan muktamad bermulanya puasa dan Aidilfitri.


Pengisytiharan permulaan bulan Islam di negara ini berdasarkan rukyah iaitu aktiviti melihat anak bulan pada hari ke 29 setiap bulan hijrah. Hari ini, bersamaan 29 Syaaban 1431 hijrah, pihak berkuasa membuat persiapan bagi menentukan tarikh 1 Ramadan.

Rukyah turut dilakukan pada hari ke 30 jika anak bulan tidak kelihatan hari sebelumnya bagi tujuan analisis dan rekod kerana tarikh awal bulan ditetapkan berdasarkan rukyah hari ke-29. Ada kalanya rukyah dilakukan pada petang 1 hari bulan baru jika anak bulan masih gagal dikesan hari sebelumnya kerana masalah cuaca.

Hisab menurut pelaksanaan di Malaysia adalah aktiviti menghitung ‘efemeris' bulan dan matahari serta elemen berkaitan dan seterusnya melakukan analisis bagi membuat justifikasi sama ada anak bulan pada hari ke 29 suatu bulan hijrah itu, kelihatan atau sebaliknya.

Hitungan hisab adalah berasaskan aktiviti cerapan (rukyah) yang dilakukan sekian lama sejak sebelum kedatangan Islam. Hasil cerapan ini dicatat dalam banyak manuskrip, disusun menjadi rumusan sains mengenai kenampakan anak bulan dan jangkaan mengenainya.

Ini turut tercatat dalam manuskrip hasil tulisan saintis atau ulama Muslim terdahulu. Apa yang dibuat hari ini adalah meneruskan kesinambungan usaha pengumpulan maklumat dan analisis kenampakan untuk menghasilkan rumusan hisab yang lebih baik mengenai kenampakan anak bulan.
Aktiviti rukyah, analisis hasil dan pembentukan rumusan (hisab) adalah komponen saling berkait dalam bidang ilmu yang dinamakan sebagai Ilmu Falak iaitu ilmu mengkaji objek angkasa melalui cerapan secara sistematik dan dihimpun dalam bentuk hukum umum (hisab).

Berdasarkan definisi itu, apabila menyebut mengenai ilmu falak, ia membabitkan rukyah dan hisab sekali gus iaitu bidang ilmu yang terpisah daripada aspek hukum dan amalan.

Justeru, menyebut penentuan awal bulan berdasarkan ilmu falak agak kabur maksudnya berbanding menggunakan istilah rukyah dan hisab seperti digunakan sekarang.

Imkanurrukyah bermaksud ‘kebolehnampakan' merujuk kepada faktor fizikal bulan dan matahari yang memenuhi syarat kebolehnampakan atau tidak. Syarat kebolehnampakan ini dibangunkan berdasarkan analisis dan rekod hasil aktiviti rukyah yang dilakukan selama ini.

Ini menjadikan aktiviti rukyah adalah aktiviti saintifik kerana membabitkan teori dan cerapan, seterusnya pembinaan justifikasi atau hukum umum berkaitan kenampakan anak bulan. Justifikasi atau syarat ini seterusnya membolehkan kenampakan anak bulan seterusnya dijangkakan kenampakannya dan takwim boleh disusun dengan baik bagi satu tahun akan datang.

Sains sifatnya tidak mutlak kerana hukum sains adalah jumpaan atau hasil kajian yang dilakukan. Hasil kajian bergantung kepada metodologi digunakan. Justeru, sains terdedah kepada ralat, modifikasi, pembetulan malah penolakan.

Sifat tidak mutlak ini menyebabkan aktiviti rukyah menjadi asas justifikasi atau syarat imkanurrukyah tetap menjadi tunjang utama dilakukan hingga hari ini. Mengenepikan rukyah bererti mengangkat sains menjadi mutlak, mengenepikan hisab bererti menolak aspek saintifik rukyah.

Penggunaan kaedah rukyah dan hisab bagi menentukan awal bulan membolehkan takwim negeri diterbitkan seawal mungkin, tarikh awal bulannya tidak bersalahan dengan perisytiharan dibuat kemudian.

Apabila tarikh awal bulan tidak bersalahan dengan perisytiharan, bermaksud tidak berbeza dengan hasil aktiviti rukyah itu sendiri, ini tidak bermakna rukyah sudah tidak relevan atau perisytiharan itu boleh dilakukan lebih awal.

Walaupun sains falak boleh menjangkakan tarikh awal bulan, pengesahannya hanya boleh dibuat selepas rukyah dilakukan. Apabila ia membabitkan ibadat khusus seperti puasa dan dua hari raya, maka rukyah menjadi penting dan perisytiharan khas dilakukan berbanding bulan lain.

Analisis terhadap rekod terdahulu menghasilkan justifikasi mengenai sifat fizikal bulan paling minimum boleh kelihatan. Had minimum ini dijadikan syarat untuk menetapkan anak bulan pada Maghrib hari 29 suatu bulan hijrah itu boleh nampak atau tidak.

Pelaksanaan di Malaysia, kuantiti syarat digunakan adalah ketinggian (altitud) dengan jarak lengkuk (elongasi) dan tempoh dari waktu ijtimak ke waktu bulan terbenam (umur). Justeru, ilmu falak digunakan untuk menjangkakan kenampakan anak bulan bulan hijrah berdasarkan syarat diguna pakai.

Kaedah guna pakai syarat adalah ketika matahari terbenam pada hari ke-29 bulan hijrah, anak bulan disabitkan ada dan boleh nampak apabila memenuhi syarat. Sekalipun bulan altitudnya 1 di atas ufuk sebenarnya ‘ada' secara teknikal, tetapi ‘tidak boleh nampak' berdasarkan analisis rukyah lampau, maka ia tetap tidak memenuhi syarat dan anak bulan disabitkan ‘tidak boleh kelihatan'.

Jika pada situasi seperti itu anak bulan dilaporkan nampak, siasatan akan dilakukan terhadap orang yang mendakwa bagi memastikan kesahihan yang dilihat adalah anak bulan sebenar, bukan disebabkan kekeliruan atau sebagainya.

Di Malaysia, rukyah rasmi hanya membabitkan anggota rombongan rukyah dilantik jawatankuasa negeri dan dilakukan di tempat rasmi seperti di Terengganu di Bukit Besar, Kuala Terengganu (stesen utama negeri); Balai Cerap KUSZA, Merang, Setiu; Pulau Perhentian, Besut dan Bukit Kemuning, Kemaman.

Setiap tempat rukyah diketuai Pegawai Agama Daerah itu, manakala di Bukit Besar diketuai oleh mufti. Setiap tempat dibekalkan data efemeris bulan matahari yang diterbitkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Rukyah secara rasminya dimulakan kira-kira 10 minit sebelum matahari terbenam sebagai persediaan dan berterusan hingga waktu bulan terbenam. Jika bulan terbenam lebih awal daripada waktu matahari terbenam, anggota rukyah tetap meneruskan rukyah sehingga beberapa ketika selepas matahari terbenam bagi memastikan tiada apa-apa yang boleh disamakan sebagai anak bulan.

Kaedah penentuan awal bulan hijrah yang diamalkan sekarang sudah memenuhi kehendak syarak daripada aspek pelaksanaannya. Sekalipun ada beberapa kelemahan, itu adalah kelemahan justifikasi sains disebabkan kemampuan manusia.

Rukyah sebenarnya turut dilakukan pada bulan lain namun ia tidak diisytiharkan kepada umum sebaliknya hanya untuk analisis dan pengesahan peringkat pihak berkuasa saja.

 

Cerapan Anak Bulan


Pendahuluan

Seperti biasa menjelang bulan Ramadhan dan Syawal terdapat beberapa rencana dalam akhbar-akhbar tempatan yang memperkatakan tentang tarikh berpuasa atau mengkritik sistem taqwim dan amalan merukyah yangdiamalkan di negara kita. Ada yang menyuarakan pendapat bahawa 'hisab canggih' telah tidak digunakan dan tidak kurang pula yang melahirkan kesedihan kerana kononnya cara penentuan awal bulan puasa dan hari raya di Malaysia sudah ketinggalan zaman. Terdapat juga yang melahirkan kebimbangan bahawa 'cermin raksasa' yang terletak di pengkalan angkasa lepas Mir kepunyaan Russia akan mempengaruhi usaha melihat anak bulan di Malaysia.

Melihat Anak Bulan Sebagai Asas Takwim Hijriyyah

Mengikut sejarah, amalan penentuan awal bulan di Malaysia, khususnya Ramadhan dan Syawal sering berubah dari segi kaedah. Tetapi semenjak tahun 1982, dasar rukyah dan hisab telah digunakan. Walaupun telah sekian lama kaedah ini digunakan, masih terdapat sebahagian masyarakat kita yang masih menganggapkan bahawa amalan rukyah yang diamalkan sudah ketinggalan zaman dan membelakangkan pengetahuan astronomi moden. Sebenarnya amalan merukyah turut mengalami perubahan, sesuai dengan perkembangan teknologi dalam bidang astronomi.

Sejak kedatangan Islam di nusantara, masyarakat telah pun menggunakan taqwim hijriyyah bagi menggantikan apa-apa sistem taqwim yang terdapat ketika itu. Pada peringkat ini permulaan tarikh bagi semua bulan ditentukan dengan melihat anak bulan. Tanpa menggunakan almanak atau perhitungan yang rumit, masyarakat tempatan akan memulakan bulan baru hijriyyah selepas mereka nampak anak bulan atau bulan sabit yang pertama di ufuk barat selepas waktu maghrib. Mereka mengamalkan konsep bahawa bilangan bulan-bulan hijriyyah itu sama ada 29 hari atau 30 hari. Pengamatan fasa bulan di langit dari anak bulan, bulan sabit, purnama, sabit tua dan bulan gelap, menjadikan sistem taqwim ketika itu begitu mudah. Apabila menjelang bulan Ramadhan, masyarakat setempat dengan diketuai oleh ulama-ulama tempatan akan pergi melihat anak bulan secara beramai-ramai. Terdapat juga laporan-laporan yang suatu masa dahulu, para nelayan kita bersama-sama membantu usaha merukyah dan melaporkannya kepada pihak berkuasa agama tempatan.

Sebelum tahun 1970an, melihat anak bulan dilakukan dengan mata kasar sahaja atau dengan alat bantuan yang terhad seperti 'sextant' dan 'rubu mujayyab'. Kini, kesemua tempat melihat anak bulan di Malaysia telah dilengkapi dengan peralatan 'teodolit' dan ahli-ahli rukyah dibekalkan dengan data rukyah yang mengandungi jadual pergerakan bulan dan matahari pada hari rukyah. Kemudahan begini sudah boleh dianggap memadai untuk tujuan merukyah anak bulan kerana di seluruh negara terdapat sebanyak 26 tempat melihat anak bulan. Kedudukan anak bulan ditentukan pada setiap minit, dan ahli-ahli rukyah bukan sahaja dipertanggungjawabkan untuk melihat anak bulan tetapi juga untuk meneliti bentuk bulan sekiranya kelihatan.

Amalan Merukyah Menurut Astronomi Taqwim

Melihat anak bulan atau merukyah telah menjadi agenda tradisi masyarakat Islam. Ia adalah satu cara yang mudah dan berkesan untuk penentuan tarikh. Oleh itu melihat anak bulan telah dijadikan sebagai asas takwim dalam beberapa tamadun terdahulu seperti Mesir Purba, Babilonia,Hindu dan tidak ketinggalan dalam tamadun Islam. Di sekitar abad ke 7M hingga ke 16M, ahli-ahli falak Islam telah melakukan pencerapan anak bulan dan objek langit lain secara saintifik. Malahan hasil-hasil cerapan direkodkan untuk tujuan memperbaiki jadual- jadual pergerakan bulan, matahari dan planet-planet.

Takwim Islam yang asal adalah berdasarkan kenampakan anak bulan. Rekod-rekod cerapan silam, menunjukkan bagaimana ahli-ahli falak Islam melakukan rukyah dan membuat kajian mengenai kenampakan anak bulan. Perkembangan terbaru menunjukkan ahli-ahli astronomi amatur di Amerika Syarikat juga melakukan aktiviti melihat anak bulan dan melaporkan kenampakan mereka kepada satu badan yang menjalankan kajian kenampakan di sana. Oleh itu melihat anak bulan telah menjadi satu kaedah penyelidikan takwim yang saintifik dan tidak lagi boleh dianggapkan sebagai satu aktiviti keagamaan yang bersifat rutin. Keputusan sama ada bermula atau tidak bulan baru, tidak semata-mata bergantung kepada kenampakan anak bulan, tetapi lebih bergantung kepada 'sifat anak bulan' itu sendiri. Dari satu aspek lain, sekiranya kita kita bergantung kepada hasil rukyah untuk membuat taqwim, tentunya taqwim tersebut tidak dapat memenuhi kehendak dan keperluan takwim awam kerana tarikh awal bulan hanya boleh ditentukan selepas usaha melihat anak bulan dibuat. Oleh itu ahli-ahli astronomi dan ahli-ahli takwim Islam telah membuat satu pendekatan baru tentang takwim rukyah, iaitu yang berdasarkan kepada kemungkinan nampak anak bulan atau 'imkannur rukyah'. Kaedah ini mula diperkenalkan sejak tahun 1978 melalui resolusi Persidangan Hilal Negara-negara Islam di Istanbul. Tetapi kebanyakan negara yang menghadiri sidang tersebut, bukan setakat tidak melaksanakan resolusi berkenaan tetapi negara-negara mereka masih mengamalkan kaedah-kaedah takwim yang meragukan dari segi astronomi takwim.

Setiap tahun, terdapat banyak laporan bahawa anak bulan telah kelihatan di sesuatu tempat. Tetapi kebanyakan laporan tersebut boleh ditolak, kerana 'hisab canggih' sendiri telah menunjukkan dakwaan tersebut tidak boleh diterima. Tahun ini (1993M/1413H), kita mendapat berita yang anak bulan Ramadhan 1413 telah kelihatan di Wilayah Yala, Selatan Thai, pada petang hari Ahad, sedangkan rombongan rasmi melihat anak bulan di Malaysia (24 tempat), Indonesia dan Brunei tidak dapat melihatnya, kerana bulan yang merentasi Asia Tenggara pada petang tersebut ialah bulan sabit tua yang terbenam kira-kira 15 minit sebelum waktu maghrib. Bulan sabit tua pula mustahil dapat dilihat ketika itu, kerana berada terlalu hampir dengan matahari dan fasa cahayanya cuma 0.05% atau 1/2000 daripada saiz bulan. Menurut hisab pergerakan bulan dan matahari pada hari tersebut (21 Februari 1993), fenomena pemisahan bulan lama dengan bulan baru (ijtimak) hanya berlaku di sebelah barat rantau Asia Barat dan negara-negara Eropah, maka ke timur dari negara-negara berkenaan, anak bulan sebenarnya belum wujud lagi. Di Arab Saudi sendiri pada hari tersebut, bulan menurut hisabnya akan terbenam bersama-sama matahari. Berita Nida Ul-Islam yang disiarkan pada pagi Jumaat, 19 Februari 1993 pula menyiarkan keputusan mahkamah tinggi Arab Saudi yang mengeluarkan arahan supaya rakyatnya merukyah pada hari Sabtu, 20 Februari 1993. Keputusan kemudiannya diumumkan bahawa anak bulan tidak kelihatan dan 1 Ramadhan di Arab Saudi diisytiharkan jatuh pada hari Isnin, 22 Februari 1993. Sesuatu yang nyata ialah hari Sabtu (20 Februari 1993) telah menjadi tanggal 29 Syaaban 1413 di Arab Saudi, sedangkan menurut perkiraan takwim hakiki untuk negara Arab Saudi hari tersebut semestinya 28 Syaaban, kerana 1 Syaaban di Arab Saudi sepatutnya jatuh pada 24 Januari dan bukannya pada 23 Januari. Terdapat kelainan dalam sistem taqwim Arab Saudi yang sukar ditafsirkan pemahaman biasa dalam menurut astronomi takwim. Maklumat-maklumat yang disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan pula menunjukkan umat Islam di Asia Barat dan Afrika Utara telah memulakan puasa mereka pada 2 hari yang berbeza iaitu Mesir, Qatar, Oman, Yemen dan Emeriah Arab Bersatu mengikut tarikh yang sama seperti Arab Saudi, manakala umat Islam di Algeria, Turki dan Iran mula berpuasa pada hari Selasa sama seperti di Malaysia. Berdasarkan tarikh permulaan awal bulan yang berbeza-beza ini adalah dipercayai permulaan puasa di Mesir adalah berdasarkan hisab hakiki yang menunjukkan telah wujud anak bulan di kebanyakan ufuk negara tersebut. Manakala negara-negara Algeria, Turki dan Iran kemungkinan menggunakan kaedah imkannur rukyah.

Saranan-saranan supaya diseragamkan tarikh atau takwim Islam memang kerap diadakan dalam banyak forum antarabangsa, malahan anjuran OIC sendiri. Sebenarnya soal penerimaan apa-apa kaedah astronomi untuk tujuan penentuan awal bulan, bukan lagi masalah utama ulama-ulama dan ahli astronomi, mereka telah menetapkan beberapa kaedah untuk diikuti. Walaupun ia bersifat sementara, namun kaedah seragam tersebut boleh diamalkan sementara menanti penyelesaian lain yang lebih menyeluruh, namun apa yang dikesalkan ialah sikap dan dasar sesetengah kerajaan negara-negara Islam tidak mengambil berat masalah takwim Islam. Mereka masih mengekalkan kaedah-kaedah takwim yang meragukan. Penulis berpendapat, senario inilah yang mendorong MABIMS mengambil langkah segera dengan mengemukakan penyelarasan peringkat serantau. Selain dari membuat penyelarasan dalam hal-ehwal Islam, pihak MABIMS juga telah mencapai persetujuan mengenai penetapan tarikh yang sama bagi hari-hari perayaan Islam. Termasuklah langkah Malaysia mengubah kaedah penentuan tarikh Hari Raya Korban daripada mengikut tarikh wukuf oleh kerajaan Arab Saudi kepada kaedah penyelarasan MABIMS (singkatan bagi Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura).

Sesuatu yang perlu diambil perhatian dalam usaha keghairahan umat Islam untuk melihat penyeragaman takwim Islam, ialah permulaan tarikh hijriyah yang sama di seluruh dunia tidak mungkin dapat dicapai kerana takwim hijriyah (dan takwim lunar lain) secara tabie akan berbeza selama satu hari berdasarkan tarikh syamsiyah (solar). Ini disebabkan detik kelahiran anak bulan tidak berlaku tepat di Garisan Tarikh Antarabangsa (180°). Tetapi garisan kelahiran tersebut yang dinamakan Garis Batas Bulan Baru (GBBB) boleh berlaku di mana-mana titik di muka bumi dan pada bila-bila masa mengikut pergerakan bulan. Apabila garis batas tersebut diunjurkan secara bersistem dengan kriteria astronomi tertentu yang menjangkakan kenampakan pertamanya, maka garisan tersebut dinamakan Garis Tarikh Bulan Antabangsa (ILDL) - Konsep ini diperkenalkan Dr. Mohammad Ilyas (pensyarah fizikdan sains atmosfera di Universiti Sains Malaysia). Lihat buku beliau AModern Guide To Astronomical Calculations Of Islam Calendar, Times &Qibla, terbitan Berita Publishing Sdn. Bhd.

Walau bagaimana pun sekiranya penyeragaman dari segi kaedah dan kriteria bulan baru dapat dibuat dan diterima secara global, hampir pasti dunia Islam akan dapat menggunakan takwim hijriyah yang sistematik. Terdapat juga teguran-teguran yang mengatakan bahawa amalan rukyah di Malaysia tidak selari dengan hisab falak, di mana anak bulan masih tetap dirukyah walaupun mengikut hisab anak bulan tiada. Sebenarnya merukyah anak bulan sama ada pada hari ke 29 atau 30 bukanlah satu tugas fizikal yang sangat berat sehingga ia boleh ditafsirkan sebagai sia-sia dan membuang masa. Merukyah sebenarnya adalah satu tuntutan syarak yang mengandungi manifestasi tradisi keilmuan yang tinggi dalam sistem takwim Islam. Tanggungjawab ahli rukyah sama berat sama ada ketika merukyah itu bulan ada atau pun tidak. Sekiranya bulan telah terbenam terdahulu daripada matahari (bulan tua), ahli rukyah berkewajipan pula untuk mempastikan bahawa selepas matahari terbenam, tidak ada apa-apa benda lain yang boleh dikelirukan sebagai anak bulan. Jika tidak akan timbul dakwaan seperti yang berlaku di Selatan Thai semasa penentuan puasa tahun ini (1993M/1413H). Ahli-ahli rukyah telah dibekalkan pemahaman yang secukupnya tentang sifat-sifat bulan, bentuk bulan dan arahnya. Oleh itu tugas ahli-ahli rukyah dalam dua keadaan itu sama penting selepas terbenamnya matahari.

Amalan rukyah di Malaysia juga tidak semata-mata melihat anak bulan secara fizikal atau dengan bantuan 'teropong' sahaja tetapi juga meliputi kepada melihat 'jisim anak bulan' itu sendiri. Ahli-ahli astronomi memang dapat menghisab kedudukan anak bulan dan waktu berlakunya ijtimak dengan tepat, tetapi ahli-ahli astronomi masih belum dapat menentukan bilakah anak bulan itu mula boleh kelihatan. Anak bulan tidak boleh terus kelihatan sebaik sahaja selepas berlakunya ijtimak, tetapi ia memerlukan masa untuk membolehkan cahaya anak bulan itu dapat dikesani oleh mata manusia. Ini adalah cabaran terbesar ahli-ahli astronomi Islam sekarang, iaitu untuk mengemukakan tempoh masa di antara waktu ijtimak ke waktu kenampakannya yang pertama. Kenampakan pertama ini tidak perlulah mengambil kira faktor-faktor cuaca tempatan, tetapi sekadar membuat hubungan relatif kemampuan cahaya bulan mempamerkan cahayanya dalam situasi yang biasa. Sekiranya masalah ini dapat diselesaikan dan satu keputusan dapat dibuat di kalangan ahli-ahli astronomi, maka ahli-ahli takwim bolehlah menggunakan tempoh masa tersebut sebagai asas takwim. Keadaan ini bolehlah disamakan sebagaimana ahli-ahli astronomi telah dapat memberikan nilai yang tepat bagi fenomena hilangnya tanda syafaq merah iaitu tanda masuknya waktu Isya. Menurut ahli-ahli astronomi, tanda syafaq merah akan hilang apabila sudut tunduk matahari selepas ianya terbenam sudah mencapai 18 darjah. Keadaan ini dapat diterima oleh semua orang tanpa mempertikaikannya, dan umat Islam telah sampai ke satu peringkat keyakinan berdasarkan hasil hisab dan kajian tersebut sehingga tidak perlu lagi memerhatikan secara amali bila hilangnya tanda syafaq merah untuk menentukan masuknya waktu Isya. Insyaallah, apabila sifat-sifat fizikal bulan yang melibatkan kenampakannya telah dapat dibuat, maka kita boleh meyakini tahap umur bulan selepas ijtimak yang membolehkan ia kelihatan tanpa dipertikaikan oleh sesiapa. Almanak-almanak astronomi ada menyatakan bahawa anak bulan akan kelihatan apabila fasanya sudah melebihi 1% atau umurnya hampir 24 jam. Tetapi pengalaman-pengalaman rukyah di Malaysia sendiri menunjukkan rekod anak bulan yang paling muda pernah kelihatan ialah ketika fasa cahayanya 0.6%, manakala rekod di Amerika Syarikat pula ialah 0.5%. Kesemua ini memerlukan kajian lanjut dan komitmen bersungguh-sungguhdari ahli-ahli falak, para ulama dan mereka yang bertanggung jawab dalam membuat dasar takwim di negara masing-masing.

Penutup

Masa depan penggunaan takwim yang berdasarkan kenampakan anak bulan ini bergantung sepenuhnya kepada persefahaman di kalangan negara-negara Islam dan penerimaan mereka tentang kaedah-kaedah saintifik takwim hijriyah. Polemik dan kekeliruan masyarakat terhadap penetapan sesuatu tarikh, boleh diatasi dengan mendidik mereka tentang sistem-sistem taqwim Islam, amalan merukyah dan ilmu falak itu sendiri

PIRING ASTRO TIDAK MENGHADAP KIBLAT....



Dish Astro tidak mengarah ke Kiblat!


arah kiblat astro.001
Kita mungkin pernah terdengar ada yang berkata “kalau nak tahu mana kiblat, tengok la arah piring astro tu”
Secara amnya, kaedah ini amat bahaya kerana, ia akan mengundang pelbagai ralat. Kalau kita lihat posisi dish astro yang dipasang pun, tak semua yang hala ke arah yang sama!
Fenomena Istiwa Azam, atau Matahari di atas Kaabah merupakan cara yang paling tepat untuk memeriksa kembali posisi kiblat kita.
Namun, hati saya tergerak untuk tahu kedudukan sebenar dish Astro di Malaysia. Carian di internet membawa saya ke sebuah laman web http://www.dishpointer.com/ . Laman ini akan menunjukkan kedudukan azimuth beberapa buah satelit, dengan hanya kita memilih bandar atau lokasi kita, dan satelit yang dikehendaki.
Screenshot di bawah ialah setting saya dari lokasi Sri Damansara. Kemudian pastikan kita memilih satelit 91.5E MEASAT 3A | MEASAT-3
www.dishpointer.com

Hasil kiraan menunjukkan kedudukan Azimuth dish Astro dari lokasi saya ialah pada sekitar 253 darjah.
Untuk perbandingan sudut arah kiblat, saya menggunakan utiliti kiraan Falak yang dibangunkan oleh En. Ahmad Taufan dari UniSZA di http://www.falak.unisza.edu.my/calc/?name=kiblat
Screenshot di bawah menunjukkan hasilnya.
Kalkulator Falak

Kiraan sudut Kiblat menunjukkan 292 darjah!
Maknanya perbezaan hampir 40 darjah!
Kalau kita nak tahu jauh mana jarak 40 darjah ni, luruskan kedua tangan anda ke hadapan, dan kembangkan setiapa tapak tangan, dan cantumkan seperti kedudukan dalam foto di bawah:
arm 4 deg

Jarak dari hujung jari kelingking kiri ke jari kelingking kanan menunjukkan lebih kurang 40 darjah.
Oleh itu jelas kita tidak boleh menggunakan Dish Astro sebagai panduan arah Kiblat kita!
Jom Belajar Berilmu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...